Cuba Seludup Ganja RM5 Juta Ke Macau, Remaja Malaysia Ditahan

27 Sep 2025 • 8:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar Macau Business

KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun berasal dtelah ditahan pada petang Khamis kerana cuba menyeludup 8.9 kilogram ganja ke Macau.

Memetik laporan The Macau Post, remaja tersebut ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau bersama dadah yang dianggarkan bernilai sembilan juta patacas (kira-kira RM5 juta) di pasaran gelap.

Getaran difahamkan, suspek diupah sebuah kumpulan untuk menyeludup ganja dari Bangkok ke destinasi akhir yang dirancang iaitu Hong Kong.

Dia terlebih dahulu menaiki penerbangan dari Bangkok ke Korea Selatan, sebelum berlepas ke Macau pada petang Khamis.

Dia selepas itu dijadualkan meneruskan perjalanan ke Hong Kong, namun tidak sempat berbuat demikian selepas ditahan polis di lapangan terbang.

“Polis mengesyaki ada individu dalam penerbangan dari Korea Selatan ke Macau yang cuba menyeludup dadah, berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh,” lapor The Macau Post. 

Selepas penerbangan itu tiba di Macau jam 2 petang, polis menahan remaja Malaysia tersebut ketika dia mengambil bagasinya, dan menemui 16 beg berisi putik ganja dengan jumlah berat keseluruhan 8.9 kilogram.

Menurut laporan, suspek dijanjikan bayaran sebanyak RM5,000 sekiranya berjaya menyeludup ganja tersebut ke Hong Kong.

Polis berkata mereka sedang menyiasat punca asal ganja berkenaan serta mengesan individu lain yang terlibat dalam kes itu.

Suspek akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Awam (MP) untuk soal siasat lanjut dan berdepan pertuduhan mengedar dadah. - Getaran, 27 September 2025