Cubaan 2 lelaki seludup 88kg syabu bernilai RM4.4juta ke Indonesia jerat diri

25 May 2026 • 4:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cubaan 2 lelaki seludup 88kg syabu bernilai RM4.4juta ke Indonesia jerat diri
Hakemal menunjukkan rampasan dadah yang dilaksanakan anggotanya di pesisir pantai di Tanjong Sepat, Kuala Langat, Sabtu lalu.
Image from: Cubaan 2 lelaki seludup 88kg syabu bernilai RM4.4juta ke Indonesia jerat diri
Anggota PGA menunjukkan lokasi tangkapan dua lelaki Indonesia dengan rampasan syabu RM4.4 juta di pesisir pantai di Tanjong Sepat, Kuala Langat, Sabtu lalu.

TANJONG SEPAT - Cubaan 'berani mati' dua lelaki membawa 88 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM4.4 juta dipercayai untuk diseludup ke Indonesia melalui pesisir pantai berhampiran kira-kira 100 meter dari Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Ladang Tumbok di sini hanya menjerat diri.

Kedua-dua lelaki Indonesia itu dicekup menerusi Op Taring Nyah 1 kira-kira jam 11.30 pagi, Sabtu lalu oleh sepasukan anggota Batalion 6 PGA.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemui beg yang berisi bungkusan disyaki dadah jenis syabu.

Menurutnya, ketika tangkapan, suspek dipercayai sedang menunggu bot untuk ke Indonesia bagi membawa bungkusan-bungkusan dadah bernilai kira-kira RM4.4 juta terbabit.

"Anggota serbuan turut merampas satu unit telefon bimbit dipercayai digunakan suspek sebagai alat perhubungan bagi aktiviti terbabit.

**media[3532413]**

"Siasatan awal tidak tolak kemungkinan bot yang ditunggu suspek merupakan bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya dalam sidang akhbar di Pos PGA Ladang Tumbok di sini pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan serta upah diterima suspek terbabit.

Tambahnya, kegiatan penyeludupan melalui persisiran pantai ini sentiasa berubah-ubah apabila sindiket mengesan tindakan operasi di lokasi tertentu.

"Kedua-dua suspek diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hakemal turut memaklumkan kejayaan Briged Tengah PGA meliputi kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada tahun ini sehingga 25 Mei dengan pelaksanaan 179 serbuan serta 611 tangkapan individu termasuk 125 wanita.

Jelasnya, nilai rampasan direkodkan mencecah RM254 juta.

"Tangkapan terdiri daripada pelbagai warganegara antaranya Indonesia, Bangladesh, Myanmar serta tempatan," ujarnya.

Tegasnya, pihak polis melalui PGA akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Kita berharap orang awam menjadi mata dan telinga polis dalam menyalurkan segala maklumat berkaitan kes-kes penyeludupan bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh elemen yang menyalahi undang-undang," ujarnya.