SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin mempelawa Wong Siew Ki untuk turun padang meninjau sendiri keadaan pencemaran di kawasan ladang babi di Kampung Tumbuk dan Tanjong Sepat, Kuala Langat.
Afif berkata, jemputan itu bagi membuktikan situasi sebenar di lokasi berkenaan yang sebelum ini didakwa berdepan masalah pencemaran serius akibat sisa pengurusan ternakan.
"Saya menjemput (ADUN Seri Kembangan) untuk bersama esok (Rabu) turun ke Kampung Tumbuk dan Tanjong Sepat bersama rakan-rakan media melihat tahap pencemaran di sana.
"Kalau kerajaan negeri hendak bersihkan malam ini, saya harap esok apabila kita melihat keadaannya sudah bersih," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.
Afif menjelaskan, pada masa ini kawasan itu dipenuhi dengan najis babi dan mempersoalkan mengapa Siew Ki ingin mempertahankan perkara berkenaan.
Dalam pada itu, Afif turut menegaskan Siew Ki perlu membuat permohonan maaf dan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi meredakan polemik berhubung isu ladang babi.
Menurutnya, kenyataan wakil rakyat itu sebelum ini telah mencetuskan kemarahan masyarakat sehingga membawa kepada penghinaan terhadap institusi diraja melalui penyebaran karikatur melampau.
Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan usul kepada DUN Selangor minggu lalu supaya Siew Ki dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan, namun notis tersebut ditolak oleh Speaker, Lau Weng San.
"Saya tiada kuasa untuk paksa Seri Kembangan meminta maaf kerana ADUN mempunyai tahap kekebalan tertentu untuk bercakap dalam dewan.
"Sebab itu kita ada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk menilai sama ada sesuatu kenyataan itu melanggar lunas yang sepatutnya," ujarnya.
Pada Isnin, Afif bersama ADUN Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah, digantung selama tiga hari sehingga Rabu selepas mempertikaikan keputusan Speaker menolak notis usul tersebut dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan DUN Selangor Ke-15, 2026.
Terdahulu, Siew Ki dalam perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor dilaporkan menyatakan isu penternakan babi tidak seharusnya dibezakan dengan penternakan haiwan lain kerana risiko pencemaran, kebersihan dan kesihatan adalah sama.






