Cubaan Campur Tangan Siasatan Gangguan Seksual, HSA Beri Amaran Keras 

5 Sep 2026 • 9:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Cubaan Campur Tangan Siasatan Gangguan Seksual, HSA Beri Amaran Keras 

JOHOR BAHRU - Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pakar perubatan.

Kes itu menjadi bualan hangat apabila pengadu didakwa telah didesak supaya menarik balik laporan berkenaan.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihak pengurusan hospital telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas bagi menyiasat aduan yang diterima pada 28 Ogos lalu.

Siasatan itu dijalankan susulan laporan sebuah portal berita dalam talian yang mendakwa, terdapat pihak tertentu meminta pengadu menarik balik laporan salah laku gangguan seksual berkenaan.

“Proses siasatan kini sedang dilengkapkan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil mengikut garis panduan dan tatacara yang sedang berkuat kuasa.

“Pihak hospital tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menyembunyikan, menyekat, memberi tekanan atau menghalang mana-mana anggota daripada membuat laporan berkaitan dakwaan gangguan seksual,” menurut kenyataan itu.

JKNJ berkata, HSA kekal komited untuk memastikan keadilan kepada semua pihak, selain mengekalkan ketelusan dan integriti sepanjang proses siasatan dijalankan.

Menurutnya, sebarang tindakan lanjut hanya akan diputuskan selepas siasatan selesai dan berdasarkan garis panduan serta prosedur ditetapkan.

“JKNJ bersama pihak hospital kekal komited untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan profesional, bebas daripada sebarang bentuk gangguan, intimidasi atau salah laku.

“Pihak hospital juga akan terus memastikan proses siasatan dijalankan secara telus dan adil serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan,” katanya. - Getaran, 5 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved