
PHUKET – Polis Thailand menahan ketua pengawal keselamatan sebuah hotel di Phuket, kelmarin selepas lelaki terbabit dipercayai cuba menceroboh bilik penginapan seorang DJ wanita, dalam kejadian yang menggemparkan pelancong serta mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan hotel.
Mangsa, Mirinda Malinrattanawadee, berkongsi pengalaman menakutkan itu menerusi akaun Facebook miliknya, selain menuntut pihak hotel bertanggungjawab atas insiden berkenaan yang berlaku sekitar jam 10 malam, Jumaat lalu.
Menurut Mirinda, dia berada di Phuket bagi menghadiri festival muzik EDC 2026, namun tidak menyertai acara tersebut pada hari kejadian kerana tidak sihat dan memilih untuk berehat di bilik hotel.
Lelaki Tidak Dikenali Cuba Masuk Bilik
Ketika berada di dalam bilik, Mirinda mendakwa terdengar seorang lelaki menjerit “Hei!” di luar pintunya. Berasa tidak selesa, dia tidak memberikan sebarang respons dan segera mengunci selak keselamatan pintu.
Tidak lama kemudian, lelaki berkenaan membunyikan loceng pintu. Mirinda yang berasa terancam merakam situasi tersebut menggunakan telefon bimbitnya sebelum bertanya, “Siapa?”, namun tidak menerima sebarang jawapan.
Beberapa saat selepas itu, suspek dipercayai cuba membuka pintu bilik menggunakan kad kunci, namun gagal kerana selak keselamatan telah dikunci dari dalam.
Rakaman CCTV Didakwa Hilang
Dalam salah satu video yang tular di media sosial, Mirinda dilihat berbincang dengan seorang kakitangan hotel yang memaklumkan bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada waktu kejadian tidak dapat ditemui.
Mangsa kemudian menuntut bayaran balik serta penjelasan daripada pihak hotel, namun dimaklumkan bahawa keputusan hanya boleh dibuat selepas pihak pengurusan kanan meneliti kes tersebut pada keesokan hari.
Berikutan insiden itu, Mirinda membuat laporan polis di Balai Polis Cherng Talay dan mengambil keputusan untuk mendaftar keluar dari hotel berkenaan.
Suspek Ketua Pengawal Keselamatan
Polis pada awalnya mengesahkan suspek merupakan kakitangan hotel, namun identiti penuh tidak didedahkan kerana siasatan masih berjalan.
Siasatan lanjut kemudiannya mengenal pasti suspek sebagai Kanisorn, 39, ketua pengawal keselamatan hotel tersebut dan bekas anggota tentera.
Menurut laporan KhaoSod, Kanisorn telah menamatkan syifnya sekitar jam 4 petang pada hari kejadian, namun masih berada di kawasan bilik kakitangan sebelum cuba memasuki bilik Mirinda menggunakan kad kunci.
Cubaan itu disedari mangsa, menyebabkan suspek melarikan diri dari lokasi kejadian. Polis turut mendedahkan bahawa suspek dipercayai memadam rakaman CCTV sebelum meninggalkan hotel.
Hotel Mohon Maaf, Suspek Dipecat
Susulan penangkapan itu, pihak hotel tampil mengeluarkan kenyataan rasmi memohon maaf kepada mangsa dan mengakui tanggungjawab terhadap insiden yang berlaku.
Hotel berkenaan mengesahkan Kanisorn telah dipecat serta memberi jaminan akan memperketatkan langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Menurut KhaoSod, Kanisorn didakwa atas kesalahan cubaan menceroboh kediaman pada waktu malam, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda sehingga 100,000 baht (RM12,970) atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – The Malaysian Update
The post Cubaan Ceroboh Bilik DJ Wanita: Ketua Pengawal Keselamatan Hotel Dipecat, Ditahan Polis appeared first on The Malaysian Update.




