
PETALING JAYA – Insiden cubaan mencuri kabel dikesan di antara Stesen Phileo dan Stesen Pusat Bandar Damansara, dalam kejadian pukul 5.30 pagi tadi.
Rapid KL dalam kenyataannya memaklumkan, susulan insiden pencerobohan kawasan landasan dan cubaan mencuri kabel, bekalan kuasa di kawasan terlibat telah diputuskan buat sementara waktu mengikut prosedur operasi dan keselamatan yang ditetapkan.
“Langkah ini diambil bagi membolehkan Pasukan Polis Bantuan menjalankan pemeriksaan dan operasi mengesan suspek dengan selamat, di samping memastikan keselamatan penumpang, petugas serta kawasan landasan dan kelancaran operasi perkhidmatan tren.
“Bekalan kuasa kemudian disambung semula pukul 6.32 pagi selepas tindakan yang diperlukan dilaksanakan,” menurut Rapid KL hari ini.
Sepanjang operasi pemeriksaan dan pencarian dijalankan, perkhidmatan tren alternatif turut disediakan buat sementara waktu bagi memastikan perjalanan penumpang dapat diteruskan dengan selamat.
“Rapid KL memandang serius kejadian kecurian kabel yang boleh menjejaskan kelancaran perkhidmatan tren serta keselamatan penumpang dan petugas.
“Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Rapid KL akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk membantu siasatan dan mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang. – KOSMO! ONLINE
The post Cubaan curi kabel ganggu jadual MRT Laluan Kajang pagi ini appeared first on Kosmo Online.






