Cubaan Jatuhkan Tok Min, Kerajaan Negeri Tak Boleh Diterima - Anwar

LocalPolitics
13 Jun 2026 • 10:24 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Cubaan Jatuhkan Tok Min, Kerajaan Negeri Tak Boleh Diterima - Anwar

KUALA LUMPUR - Cubaan menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, seperti berlaku baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak ada alasan untuk mana-mana pihak berbuat demikian kerana Aminuddin tidak pernah terpalit dengan dakwaan salah guna kuasa atau integriti. 

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau gagal melihat rasional di sebalik tindakan berkenaan, melainkan ia didorong oleh sikap tamakkan kuasa dan kedudukan.

“Tanah mana yang Tok Min curi? Projek balak mana yang diambil? Kalau ada isu rakyat terabai, ada isu rasuah atau salah guna kuasa, kita boleh bincang (tetapi tidak ada).

“Jadi apa sebabnya kerajaan ini hendak dijatuhkan?” soalnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Seremban, malam tadi. 

Menurutnya, beliau sudah berulang kali mengingatkan semua pihak agar mengekalkan kestabilan politik, bagi membolehkan kerajaan melaksanakan segala mandat dan tanggungjawab diberi. 

“Saya sudah katakan, fokus utama Kerajaan Perpaduan ialah menangani isu kos sara hidup, menyalurkan bantuan kepada rakyat serta memperkukuhkan ekonomi negara.

“Saya minta bersabar. Kita ada tanggungjawab untuk jaga makan minum rakyat, harga barang, Tunai Rahmah, SARA dan kebajikan rakyat. Belum sampai tiga tahun lagi penggal ini. Tetapi ada yang tidak sabar dan terus mahu berebut kuasa,” katanya.

Jelas kesal dengan keadaan itu, Anwar turut mempersoalkan ulah segelintir pihak yang berterusan mendakwa Kerajaan Persekutuan meminggirkan kerajaan negeri. 

“Kalau Kerajaan Persekutuan tidak peduli Negeri Sembilan atau Johor, mungkin ada sebab untuk marah tetapi saya tidak pernah dengar keluhan begitu. Jadi yang direbut itu apa sebenarnya?” soalnya.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal diadakan 1 Ogos nanti, selepas Aminuddin mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa 5 Jun lalu.

Negeri Sembilan ialah kerajaan negeri kedua membubarkan DUN selepas Johor 1 Jun lalu. - Getaran, 13 Jun 2026