Cubaan penjenayah lari dari polis di Tawau gagal

LocalPolitics
16 Jul 2025 • 4:02 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Amir Anuar

TAWAU: Cubaan dua suspek penjenayah merempuh deretan kenderaan orang awam di Jalan Apas di sini pada Ahad untuk mengelak daripada ditahan oleh polis gagal apabila terkandas dalam kesesakan jalan raya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu kedua-dua suspek yang menaiki pacuan empat roda turut nekad merempuh kereta polis yang mengejar mereka sebelum ditangkap di kawasan lampu isyarat Batu 3 Jalan Apas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Champin Piuh berkata suspek pertama dikenal pasti sebagai pemuda tempatan berumur 25 tahun manakala suspek kedua pula warga asing berumur 18 tahun.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Ujian awal saringan air kencing oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) mendapati kedua-dua suspek positif amphetamine dan methampetamine,” katanya di sini pada Selasa.

Champin berkata dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 5.13 gram yang dianggarkan bernilai RM400 turut ditemui di dalam beg kain di bawah kenderaan dinaiki mereka.

Menurutnya, pada awalnya kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis BSJND yang menjalankan Ops Tapis sebelum mereka bertindak agresif dengan memandu secara melulu untuk mengelak daripada tindakan undang-undang.

“Kenderaan yang mereka naiki dikejar sehingga ke kawasan Batu 3 Jalan Apas sebelum merempuh kenderaan polis dan melanggar deretan kenderaan orang awam yang turut berada di laluan berkenaan.

“Mereka berdua cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas pasukan polis melakukan kepungan terhadap kenderaan suspek yang terperangkap dalam kesesakan jalan di kawasan lampu isyarat,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata kedua-dua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 6 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN166/ 59).

Tambahnya polis tidak akan berkompromi dengan sebarang pelaku yang dikesan bertindak agresif dan melawan arus undang-undang, lebih-lebih lagi jika sampai mendatangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Kita menasihatkan masyarakat supaya tidak melindungi atau bersekongkol dengan pengedar dadah dan menyeru kerjasama semua pihak supaya menyalurkan maklumat berhubung aktiviti jenayah melalui saluran rasmi polis.

“Kerjasama orang awam amat penting dalam membantu pihak polis membanteras jenayah, khususnya pengedaran dadah yang menjadi ancaman utama kepada keselamatan komuniti,” katanya.

Ditanya berhubung status pemilik-pemilik kenderaan yang dilanggar dalam insiden terbabit, Champin mengesahkan kesemua mangsa sudah tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau khususnya untuk tuntutan insuran.

Terdahulu rakaman insiden kenderaan pacuan empat roda hitam melanggar beberapa kereta dan video penahanan kedua-dua suspek di kawasan lampu isyarat Batu 3 Jalan Apas tular di media sosial sehingga menimbulkan kegusaran awam.