Cubaan seleweng diesel RM2 juta tumpas

11 Sep 2026 • 4:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Cubaan seleweng diesel RM2 juta tumpas

SANDAKAN: Dua lelaki ditahan selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah membongkar kegiatan penyelewengan diesel di sebuah jeti di sini, turut merampas sebuah kapal kargo, lori tangki dan diesel bernilai lebih RM2 juta, Rabu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata operasi kira-kira jam 3.55 petang Rabu itu dijalankan oleh PPM Sandakan selepas menerima maklumat daripada orang awam sebelum pasukan risikan mengesan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati berlaku aktiviti pemindahan diesel daripada sebuah kapal kargo ke dalam lori tangki berkenaan.

“Dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan sumber bekalan minyak diesel daripada pembekal yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan, Khamis.

Dalam operasi tersebut, PPM turut merampas sebuah kapal kargo jenis besi, sebuah lori tangki Nissan Diesel berkapasiti 15,000 liter, kira-kira 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.

Nilai keseluruhan rampasan membabitkan kapal, kenderaan, minyak diesel dan peralatan lain dianggarkan berjumlah RM2,082,760.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah telah merekodkan sebanyak 112 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan 103 tangkapan serta nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM25,869,045.30.

Ahmad Amri berkata pihaknya akan terus memperhebatkan risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barangan kawalan.

Beliau menambah, usaha berkenaan penting bagi memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan atau diseleweng untuk kepentingan pihak tertentu.

Beliau turut menggesa masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.

Katanya, kerjasama orang awam amat penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved