Dua anggota TUDM direman tujuh hari, bantu siasatan kes rampasan syabu 

20 Nov 2026 • 1:14 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua anggota TUDM direman tujuh hari, bantu siasatan kes rampasan syabu 

TAWAU: Dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang, Shah Alam, Selangor, Selasa lalu.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 28 dan 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau selepas membenarkan permohonan polis.

Kedua-dua suspek yang masing-masing berpangkat Koperal dan Pegawai Waran II itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berdasarkan keterangan kes, kedua-dua mereka ditahan kira-kira pukul 7 pagi tadi di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk pemeriksaan lanjut berhubung satu laporan polis di Bukit Jelutong, Selangor.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah di ruang legar Ketibaan Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, sekitar pukul 6.50 petang pada 17 November lalu.

Di samping itu, polis turut merampas dua telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan lanjut.

Permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat, Inspektor Hamka Ab Rashid, mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah turut membenarkan kedua-dua suspek ditempatkan di IPD Tawau dan Pusat Tahanan Polis Mukim Batu, Kuala Lumpur sepanjang tempoh reman.

Dalam perkembangan lain, media melaporkan seramai 11 individu termasuk lima pegawai TUDM ditahan dalam beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu bagi membantu siasatan kegiatan pengedaran dadah berkenaan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyifatkan kes itu sebagai amat membimbangkan, sekali gus memberi amaran bahawa tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang terbabit tanpa mengira pangkat. – UTUSAN 

The post Dua anggota TUDM direman tujuh hari, bantu siasatan kes rampasan syabu  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved