Cubaan seludup syabu: Jet peribadi disewa RM200,000

8 Oct 2026 • 11:33 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cubaan seludup syabu: Jet peribadi disewa RM200,000

PETALING JAYA: Jet persendirian yang ditahan di Laos selepas dipercayai digunakan dalam cubaan menyeludup lebih setengah tan dadah jenis syabu dari Laos ke Filipina disewa dengan bayaran kira-kira lebih RM200,00 atau AS$49,500.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, ketika dihubungi Utusan Malaysia menjelaskan dadah berkenaan bukan diambil atau dibawa dari Malaysia.

Sebaliknya, katanya, pesawat berkenaan disewa untuk penerbangan dari Laos ke Filipina selepas berlepas dari Subang tanpa membawa sebarang muatan dadah.

Beliau turut menjelaskan kes berkenaan tidak berkaitan dengan aspek pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang Malaysia.

Katanya, kawalan keselamatan di lapangan terbang negara sentiasa dilaksanakan dengan ketat.

“Pesawat ini disewa untuk penerbangan dari Laos ke Filipina. Saya berharap masyarakat jelas mengenai perkara ini.

“Kes ini tidak melibatkan soal pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang kita kerana kawalan keselamatan di lapangan terbang negara sememangnya ketat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan penahanan seorang juruterbang warga Malaysia yang memiliki sebuah syarikat disyaki mempunyai kaitan dengan jet peribadi itu.

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah juruterbang warga Malaysia yang ditahan berkaitan kegiatan pengedaran dadah kepada empat orang termasuk di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, di Tangerang, Banten, Indonesia, pada 29 Julai lalu.

“Satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Laporan Utusan Malaysia hari ini mendedahkan, empat individu termasuk seorang juruterbang rakyat Malaysia yang merupakan pemilik pesawat ditahan selepas disyaki mempunyai kaitan dengan penahanan pesawat persendirian dari negara ini yang terbabit dalam cubaan menyeludup 521 kilogram (kg) syabu dari Laos ke Filipina pada 1 Oktober lalu.

Juruterbang berusia berusia 49 tahun itu ditahan bersama pembantu juruterbang warga Singapura berusia 47 tahun, dan dua wanita rakyat Malaysia iaitu seorang doktor berusia 37 tahun dan jururawat berusia 33 tahun. – UTUSAN

The post Cubaan seludup syabu: Jet peribadi disewa RM200,000 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved