Pemilik syarikat penerbangan ditahan, bantu siasatan kes dadah di Laos

8 Oct 2026 • 3:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemilik syarikat penerbangan ditahan, bantu siasatan kes dadah di Laos

KUALA LUMPUR – Pemilik sebuah syarikat penerbangan persendirian ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bagi membantu siasatan kes penyeludupan 521 kilogram (kg) dadah dalam sebuah jet persendirian di Luang Prabang, Laos, minggu lalu.

Lelaki tempatan berusia 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek merupakan pemilik pesawat yang ditahan pihak berkuasa Laos selepas dipercayai digunakan untuk membawa dadah berkenaan.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati syarikat penerbangan itu memiliki dua pesawat seumpamanya yang menawarkan perkhidmatan sewaan pesawat persendirian kepada pelanggan.

“Bagi kes ini, pesawat berkenaan telah disewakan dengan kadar bayaran AS$49,500 (RM208,000).

“JSJN Bukit Aman sedang mengenal pasti individu yang membuat tempahan penyewaan tersebut untuk diambil tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, JSJN turut menahan tiga individu lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Hussein berkata, kesemua mereka berusia antara 30 hingga 40 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau pada masa sama menegaskan komitmen memerangi kegiatan pengedaran dadah bagi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menyalurkannya menerusi Hotline JSJN di talian 012-208 7222.

Pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa Laos merampas 521kg dadah jenis kristal disyaki methamphetamine dalam sebuah jet persendirian yang tiba dari Subang di Lapangan Terbang Luang Prabang.

Siasatan mendapati pesawat itu berlepas dari Subang tanpa membawa muatan sebelum tiba di Luang Prabang kira-kira pukul 11.30 pagi.

Kira-kira dua jam kemudian, dua kenderaan tiba membawa 23 beg yang kemudiannya dipindahkan ke dalam pesawat berkenaan.

Susulan kejadian itu, seramai 13 individu termasuk seorang warga Malaysia serta masing-masing rakyat Singapura dan Filipina ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah rentas negara.-KOSMO! ONLINE

The post Pemilik syarikat penerbangan ditahan, bantu siasatan kes dadah di Laos appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved