Cuckoo Malaysia terbitkan prospektus tambahan, lapor hasil RM1 bilion pada FY24

LocalBusiness & Finance
8 May 2025 • 2:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cuckoo Malaysia terbitkan prospektus tambahan, lapor hasil RM1 bilion pada FY24

image is not available

08/05/2025 - 14:24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - Cuckoo International (MAL) Bhd menerbitkan prospektus tambahan, merangkumi pindaan kepada prospektus utamanya susulan penjadualan semula tawaran awam permulaan (IPO) syarikat tersebut.

Dalam prospektus tambahannya, Cuckoo Malaysia melaporkan pendapatan sebanyak RM1.24 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), mengekalkan rekod pendapatan melebihi RM1 bilion menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 24 Jun 2025.

Pertumbuhan pendapatan sebanyak 11% itu didorong oleh prestasi kukuh produk Cuckoo Co-Created yang melonjak 62.6% kepada RM250.3 juta, dan produk berjenama Cuckoo yang meningkat 3% kepada RM983.2 juta.

Kumpulan itu juga menetapkan 5 petang 22 Mei 2025 sebagai tarikh akhir bagi pelabur untuk menarik balik permohonan mereka terhadap IPO, susulan penjadualan semula penyenaraian tersebut.

Ia memaklumkan, proses penarikan balik itu tertakluk kepada pelabur yang telah menghantar permohonan sebelum pengumuman penjadualan semula IPO dan kini ingin menarik balik permohonan mereka.

Katanya, proses penarikan balik mesti diselesaikan melalui Malaysian Issuing House (MIH), cawangan bank, atau platform dalam talian tempat permohonan asal dibuat.

“Pemulangan wang akan diproses sama ada pada hari yang sama atau dalam tempoh lapan hari dagangan selepas penerimaan borang permintaan penarikan balik yang sah, bergantung kepada kaedah penyerahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Cuckoo berkata, borang boleh dihantar melalui laman web MIH di www.mih.com.my, e-mel (BRMY-MIHIPO@boardroomlimited.com), pos, atau secara serahan tangan di kotak khas yang disediakan di Menara Symphony.

“Pelabur yang memilih untuk menarik balik permohonan masih boleh memohon semula dalam tempoh langganan IPO yang kekal dibuka dan akan ditutup pada 5 Jun 2025.

“Penyenaraian syarikat di Pasaran Utama Bursa Malaysia kini dijadualkan pada 24 Jun 2025,” katanya.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hoe Kian Choon menjangkakan prospek jangka panjang yang positif dan memberangsangkan untuk Cuckoo.

“Kami berbesar hati untuk membentangkan prestasi kewangan yang kukuh, mencerminkan komitmen berterusan dalam memperluas kehadiran pasaran syarikat dengan memanfaatkan model perniagaan Cuckoo Malaysia yang berkesan, rangkaian pengedaran pelbagai saluran serta ekosistem kesejahteraan yang sentiasa berkembang.

“Kami komited untuk mengekalkan momentum ini merentasi semua segmen perniagaan kami dengan menambah SKU produk dan penawaran perkhidmatan penjagaan rumah, di samping mengukuhkan saluran pengedaran kami di seluruh Malaysia dan Singapura," katanya. - DagangNews.com

featured standard