Rundingan perdagangan Malaysia dan AS: Tarif menyeluruh 10% dijangka kekal - pegawai MITI

LocalBusiness & Finance
8 May 2025 • 4:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rundingan perdagangan Malaysia dan AS: Tarif menyeluruh 10% dijangka kekal - pegawai MITI

image is not available

08/05/2025 - 16:17

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - Rundingan perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) berpotensi memberi hasil positif namun tarif import menyeluruh sebanyak 10% dijangka kekal, kata pegawai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Raveendran Nair.

Beliau yang merupakan antara delegasi MITI yang melawat Washington bagi perbincangan itu berkata, Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick mengesahkan, tarif 10% itu akan kekal untuk semua negara, walaupun rundingan sedang berlangsung.

"Kami mengharapkan hasil positif, tetapi setiausaha perdagangan ada menyebut kemungkinan besar tarif menyeluruh 10% itu akan kekal untuk seluruh dunia,” katanya dalam satu forum anjuran Hong Leong Bank Bhd, hari ini.

Ketika moderator sesi berkenaan, Pengarah Urusan Pasaran Global Hong Leong Bank, Hor Kwok Wai bertanya sama ada pengekalan tarif menyeluruh itu adalah hasil terbaik yang boleh dicapai daripada perbincangan dengan AS, Raveendran mengesahkannya.

“Antara perkara yang masih boleh dirundingkan termasuk pengubahsuaian terhadap tarif timbal balik (tambahan 14%, menjadikan jumlah tarif timbal balik sebanyak 24%),” kata Raveendran.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci mengenai butiran rundingan dengan memetik perjanjian kerahsiaan yang telah ditandatangani dengan AS.

Pengerusi Perdagangan Antarabangsa Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta), Eugene Tan berkata, tarif menyeluruh 10% merupakan cabaran besar kepada perniagaan, terutamanya pengilang, kerana ia hampir sama dengan margin keuntungan bagi banyak syarikat, seperti dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Saya rasa bagi sektor pembuatan, seperti E&E, 10% itu secara praktikalnya adalah margin mereka. Jadi, ini sesuatu yang memerlukan sedikit masa untuk kita bina semula — dari segi harga, pengurangan kos — kerana ia bukan sesuatu yang boleh kita serap serta-merta.

“Kita tetap akan melihat kesannya. Ia akan mengambil masa untuk mencari jalan mengatasi margin tambahan itu,” kata Eugene.

Sementara itu, Raveendran turut berkongsi, AS tidak terbuka kepada negara-negara yang ingin berunding sebagai satu blok.

Katanya, AS lebih mengutamakan rundingan dua hala berbanding rundingan secara berkumpulan, dan memberi amaran bahawa pendekatan berkumpulan boleh dianggap sebagai "berpakat" menentang AS.

“Tambahan pula, kita perlu faham, walaupun ASEAN adalah satu blok, setiap negara mempunyai kepentingan sendiri, produk yang berbeza dan kadar tarif yang berlainan. Jadi, rundingan perlu dijalankan secara dua hala,” katanya.

Tarif timbal balik dijadualkan bermula 9 April tetapi ditangguhkan ke 9 Julai 2025. Beberapa negara termasuk Malaysia sedang berusaha untuk membatalkannya. Malaysia telah memulakan rundingan rasmi dengan AS pada 6 Mei diketuai Timbalan Ketua Setiausaha MITI, Mastura Ahmad Mustafa. - DagangNews.com

featured standard