Cucu Tok Guru Nik Aziz dakwa ditampar senator: Bapa sedia bawa kes ke mahkamah

LocalPolitics
4 Jun 2026 • 4:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cucu Tok Guru Nik Aziz dakwa ditampar senator: Bapa sedia bawa kes ke mahkamah
Bapa kepada Nik Alif Aiman iaitu Ir Ariffahmi Ab Rahman tampil menegaskan beliau percaya anaknya bercakap benar dan bersedia membawa kes itu ke mahkamah bagi menuntut keadilan selepas cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu mendakwa ditampar seorang senator.
Image from: Cucu Tok Guru Nik Aziz dakwa ditampar senator: Bapa sedia bawa kes ke mahkamah
Cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa ditampar seorang senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Image from: Cucu Tok Guru Nik Aziz dakwa ditampar senator: Bapa sedia bawa kes ke mahkamah
Azhar (kanan) bersama pelajar terlibat, Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi dalam satu program di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik pada 20 Mei lalu

KOTA BHARU - Bapa kepada Nik Alif Aiman iaitu Ir Ariffahmi Ab Rahman tampil menegaskan beliau percaya anaknya bercakap benar dan bersedia membawa kes itu ke mahkamah bagi menuntut keadilan selepas cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu mendakwa ditampar seorang senator.

Beliau terpaksa bersuara selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri bagi memberi ruang kepada proses keadilan berjalan dengan baik.

Menurutnya, keyakinan terhadap anaknya tidak pernah berbelah bahagi kerana Nik Alif Aiman merupakan seorang pemimpin pelajar yang berwibawa dan tidak pernah berbohong terutama dalam perkara serius.

'Bukan tampar, sekadar sentuh pipi'

"Saya percaya kepada anak saya. Dia telah bercakap benar dan saya yakin dengan integritinya sebagai seorang pemimpin pelajar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ariffahmi turut menjelaskan tempoh masa yang agak lama sebelum laporan polis dibuat bukan disebabkan faktor politik atau berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, beliau berkata, keluarga mereka memberi peluang kepada pihak universiti untuk menyelesaikan isu tersebut secara baik tanpa melibatkan laporan polis.

Bagaimanapun, beliau mendakwa pihak universiti sejak awal kelihatan memihak kepada individu yang didakwa terlibat dan cuba membuat kesimpulan tanpa bukti kukuh selain mengharapkan perkara itu tidak diperbesarkan.

**media[3540283]**

Menurutnya, tindakan tersebut menyebabkan isu berkenaan menjadi semakin besar kerana pihak universiti gagal berperanan sebagai orang tengah yang adil dalam menyelesaikan pertikaian berkenaan.

"Pihak universiti sepatutnya bertanggungjawab sebagai penganjur program di Janda Baik untuk melindungi maruah dan keselamatan pemimpin pelajar yang terlibat," katanya.

Beliau memberitahu, keluarganya kini bersedia untuk membawa kes itu ke mahkamah dan akan mendapatkan khidmat peguam terbaik bagi mendedahkan segala fakta yang didakwa masih belum diketahui umum.

"Kami yakin kebenaran akhirnya akan terserlah dan akan terus memperjuangkannya melalui saluran yang betul," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa ditampar seorang senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.

Nik Alif Aiman berkata, kejadian itu didakwa berlaku kira-kira jam 6 petang selepas tamat sesi ceramah sempena Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 yang diadakan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU).

Menurut beliau, penceramah jemputan ketika program berkenaan ialah senator yang juga diperkenalkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah sebuah universiti.