
Keluarga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nik Alif Aiman, yang mendakwa ditampar seorang senator ketika menghadiri program di Janda Baik bulan lalu, menyatakan kesediaan untuk membawa kes tersebut ke mahkamah bagi membuktikan kebenaran.
Memetik laporan Media Point Kelantan, bapa pelajar berkenaan, Ir. Ariffahmi Ab Rahman, berkata beliau tampil bersuara selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri demi memberi ruang kepada proses keadilan. Menurutnya, beliau yakin anaknya bercakap benar kerana merupakan seorang pemimpin pelajar yang berintegriti dan tidak pernah berbohong dalam perkara serius.
Katanya, keluarga hanya membuat laporan polis kira-kira 10 hari selepas kejadian kerana pada peringkat awal mereka cuba menyelesaikan isu itu melalui rundingan. Bagaimanapun, usaha tersebut tidak berhasil apabila individu yang didakwa terbabit dikatakan tidak mengakui insiden berkenaan.
Ariffahmi mendakwa terdapat ramai pelajar yang menyaksikan kejadian itu dan mengesahkan tamparan tersebut benar-benar berlaku serta bukannya sekadar gurauan. Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak universiti yang didakwa membuat kesimpulan awal bahawa tiada bukti kukuh tanpa memberi keadilan kepada anaknya.
Menurutnya, kelewatan laporan polis turut dipengaruhi cuti panjang Aidiladha selain harapan keluarga agar isu itu dapat diselesaikan secara baik tanpa melibatkan unsur politik.
Baca juga:
Kerajaan kekal iktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di- Pertuan Negeri Sembilan
Tunku Nadzaruddin ditabal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12
Syahmie AI Team mohon maaf isu tular didakwa hina Nabi
Terdahulu, Nik Alif Aiman mendakwa ditampar seorang senator daripada UMNO ketika menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik. Susulan itu, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad menafikan dakwaan mengasari pelajar berkenaan dalam program yang berlangsung pada 20 Mei lalu. Beliau menjelaskan tindakan menyentuh pipi pelajar berkenaan dilakukan sebagai tanda kemesraan selepas dimaklumkan bahawa pelajar itu merupakan anak saudara kepada seorang sahabatnya.
The post Dakwaan ditampar Senator: Bapa pelajar sedia bawa kes ke mahkamah appeared first on The Reporter.





