Cukai jualan ke atas minyak isirung sawit diunjur naikkan kos input syarikat oleokimia Malaysia - CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
16 Jun 2025 • 3:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cukai jualan ke atas minyak isirung sawit diunjur naikkan kos input syarikat oleokimia Malaysia - CIMB Securities

image is not available

16/06/2025 - 15:52

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - Sektor oleokimia Malaysia mungkin berdepan peningkatan kos input bermula 1 Julai 2025, apabila minyak isirung sawit yang sebelum ini dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kini akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5%, menurut CIMB Securities.

Firma penyelidikan itu berkata, cukai yang disemak semula itu turut terpakai ke atas minyak isirung sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD), serta tempurung isirung sawit yang telah diklasifikasikan semula di bawah rangka kerja SST yang diperluas, melibatkan 4,800 Kod Sistem Harmonisasi (HS).

"Masih belum jelas sama ada industri akan memohon pengecualian untuk produk-produk berkenaan.

"Cukai jualan 5% ini berpotensi menghakis daya saing industri oleokimia Malaysia dengan meningkatkan kos bahan mentah, walaupun sebahagian daripada kos tambahan tersebut mungkin akan dipindahkan kepada pembeli,” kata firma itu dalam satu nota kajian.

CIMB Securities berkata, syarikat perladangan tersenarai utama di Malaysia yang mempunyai operasi oleokimia dan mungkin terjejas termasuk SD Guthrie Bhd, FGV Holdings Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd dan IOI Corporation Bhd.

Buah tanda segar (BTS) dikecualikan cukai kerana ia diklasifikasikan sebagai bahan mentah yang dituai secara tempatan, menurut Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).

Firma penyelidikan itu berkata, cukai baharu ini memberi kesan kepada sektor pembuatan hiliran.

“Ini kerana cukai jualan hanya dikenakan ke atas sektor pembuatan dan BTS diklasifikasikan sebagai bahan mentah tempatan yang dituai untuk diproses lanjut, dan bukannya produk yang dihasilkan,” katanya.

CIMB Securities itu mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) pada RM4,200 per tan metrik bagi tahun 2025, dan terus memilih IOI Corporation serta Hap Seng Plantations Holdings Bhd sebagai pilihan utama. - DagangNews.com

standard