Buah-buahan import dikenakan cukai 5% menerusi peraturan SST baharu - MOF

11/06/2025 - 14:24
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 11 Jun - Cukai jualan sebanyak 5% akan dikenakan ke atas buah-buahan import di bawah rejim cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluas, berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Bagaimanapun, buah-buahan yang ditanam secara tempatan dikecualikan daripada sebarang cukai jualan.
Ini bermakna strawberi dari Cameron Highlands tidak akan dikenakan cukai, manakala strawberi yang diimport dari luar negara akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5%.
Seorang jurucakap Kementerian Kewangan memaklumkan, makanan tertentu yang diimport seperti beras, gandum, gula, garam, dan daging dikecualikan kerana dianggap sebagai keperluan asas.
Minyak sawit yang dikeluarkan secara tempatan dan diimport untuk kegunaan memasak juga dikecualikan.
“Di bawah SST yang diperluas, cukai jualan sebanyak 5% dikenakan ke atas barangan yang dikeluarkan secara tempatan dan juga barangan import,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan secara bersasar serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan bermula 1 Julai ini.
Barangan terpilih dan bukan keperluan akan dikenakan cukai jualan antara 5% hingga 10%.
Barangan keperluan seperti hasil pertanian segar, beras, minyak masak, roti, gula, ubat-ubatan dan bahan binaan akan terus dikecualikan daripada cukai.
Sementara itu, barangan mewah seperti ketam raja, buah import, cendawan truffle, minyak pati dan kain sutera akan dikenakan cukai 5%.
Barangan premium seperti basikal lumba dan lukisan antik pula dikenakan cukai 10%. - DagangNews.com
featured standard



