Cukai kenderaan kargo diteliti, dorong pengangkutan logistik beralih kepada rel - Dewan Rakyat diberitahu

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 12:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cukai kenderaan kargo diteliti, dorong pengangkutan logistik beralih kepada rel - Dewan Rakyat diberitahu Image from: Cukai kenderaan kargo diteliti, dorong pengangkutan logistik beralih kepada rel - Dewan Rakyat diberitahu amree19/11/2026 - 12:10 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov — Kerajaan sedang meneliti kemungkinan menyemak cukai pembelian kenderaan kargo jalan raya dan subsidi sektor logistik sebagai antara langkah menggalakkan peralihan pengangkutan barangan daripada jalan raya kepada landasan kereta api.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kajian menyeluruh diperlukan bagi menentukan pendekatan terbaik untuk menjayakan inisiatif peralihan jalan raya kepada rel, termasuk menilai sama ada insentif cukai mampu menjadi faktor utama untuk perubahan tersebut.

 

Tambah beliau, Kementerian Kewangan (MOF) mengambil maklum cadangan memperkenalkan potongan cukai pendapatan berganda kepada pengusaha logistik jalan raya yang beralih menggunakan pengangkutan rel, namun cadangan itu masih memerlukan penelitian lebih menyeluruh.

 

"Bagaimanapun, kerajaan akan terus menyokong inisiatif berkenaan melalui penyelarasan bersama-sama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan agensi berkaitan bagi membangunkan pendekatan yang lebih berkesan," jelas beliau menjawab pertanyaan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur).

 

Ahli Parlimen tersebut pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat pada Khamis mencadangkan agar diberi potongan cukai pendapatan berganda kepada pengusaha logistik jalan raya yang bersetuju memindahkan pengangkutan barangan di jalan raya kepada perkhidmatan kereta api kargo.

 

tren kargo KTMB
Gambar hiasan kredit KTMB

 

Chin Tong dalam pada itu menjelaskan, kos pengangkutan menggunakan perkhidmatan kereta api ketika ini sudah layak dituntut syarikat sebagai perbelanjaan perniagaan di bawah Subseksyen 33(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, sama seperti kos pengangkutan jalan raya.

 

Justeru, kata beliau, pengusaha logistik yang beralih menggunakan pengangkutan rel tidak lagi dibebankan dengan banyak cukai tambahan berikutan kos tersebut boleh ditolak daripada pendapatan perniagaan yang tertakluk kepada peruntukan berkenaan.

 

"Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif dikenali sebagai 'road-to-rail' itu namun memerlukan kerangka dasar lebih jelas dan secara menyeluruh membabitkan MOF serta MOT, dengan tidak boleh bergantung kepada pendekatan berasaskan percukaian semata-mata.

 

Antara faktor yang perlu dipertimbangkan kerajaan dalam menggubal kerangka berkenaan termasuk aspek pelepasan karbon, pemberian subsidi tertentu, manfaat daripada pengurangan penggunaan jalan raya serta risiko kemalangan berbanding landasan tren.

 

Ketika ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengendalikan purata 4,760 kargo sehari bagi Januari hingga September 2026, naik 16% daripada tempoh sama pada tahun lalu, yang turut menghubungkan beberapa pelabuhan utama di Semenanjung Malaysia.

 

Menurut Chin Tong, semua faktor berkenaan perlu dinilai secara bersama menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan bagi membentuk struktur insentif yang lebih menyeluruh dan tidak tertumpu kepada aspek percukaian sahaja. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved