Kerajaan sedia muktamadkan pengecualian penuh cukai jualan EV komersial - Dewan Rakyat dimaklumkan

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 4:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan sedia muktamadkan pengecualian penuh cukai jualan EV komersial - Dewan Rakyat dimaklumkan Image from: Kerajaan sedia muktamadkan pengecualian penuh cukai jualan EV komersial - Dewan Rakyat dimaklumkan amree18/11/2026 - 16:55 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov — Kerajaan bersedia memuktamadkan cadangan pemberian pengecualian penuh cukai jualan secara berperingkat bagi kenderaan elektrik (EV) komersial, termasuk prime mover, dalam usaha mengurangkan kos peralihan industri pengangkutan kepada teknologi lebih hijau.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, cadangan tersebut akan diteliti Kementerian Kewangan (MOF) bersama-sama dengan Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi memastikan matlamat insentif berkenaan dapat dicapai.

 

Beliau pada masa sama namun menambah, perkhidmatan cukai merupakan antara instrumen dasar fiskal negara yang boleh membantu kerajaan mengurangkan beban kewangan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat di seluruh negara.

 

Bagaimanapun, kerajaan turut mengambil maklum pelbagai cadangan termasuk usaha menyelaraskan pelaksanaan pengurangan penggunaan diesel bersubsidi, tetapi perkara tersebut memerlukan banyak penelitian lebih lanjut sebelum sebarang keputusan dapat dilaksanakan.

 

"Pertimbangan berkenaan turut perlu mengambil kira kepada beberapa faktor lain, termasuk isu kos elektrik dan ketersediaan infrastruktur pengecasan yang diperlukan bagi menyokong penggunaan EV komersial," kata Chin Tong di Dewan Rakyat pada Rabu.

 

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) pada sesi Kamar Khas, yang meminta penjelasan kerajaan berhubung peluasan pengecualian cukai jualan bagi prime mover elektrik dan pelbagai jenis EV lain untuk kegunaan komersial.

 

EV_Bernama
Gambar hiasan - BERNAMA

 

Sehubungan itu, beliau menyatakan pada ketika ini belum ada lagi sebarang pengecualian cukai jualan diberikan kepada kenderaan prime mover elektrik yang lazim digunakan untuk urusan pengangkutan kontena di pelabuhan atau pun EV komersial lain.

 

Pada 9 Oktober 2026, kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2027 menyediakan Elaun Cukai Pelaburan Hijau yang membolehkan syarikat membeli EV dan menuntut elaun cukai pelaburan sebanyak 100% ke atas perbelanjaan modal yang layak.

 

Insentif tersebut menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meliputi pelbagai kategori kenderaan termasuk bas, van, kenderaan pelbagai guna panel, traktor terminal, forklift, lori, trak ringan dan kenderaan berat termasuk prime mover.

 

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, elaun berkenaan boleh ditolak daripada sehingga 70% pendapatan berkanun syarikat, sekali gus menyediakan insentif fiskal kepada perniagaan yang melabur dalam penggunaan EV untuk operasi semasa mereka.

 

"Cadangan pengecualian penuh cukai jualan itu bagaimanapun masih di peringkat kajian dan belum dimuktamadkan, manakala kerajaan perlu meneliti kesesuaian pelaksanaannya bersama kos tenaga serta kesiapsiagaan infrastruktur pengecasan," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved