Fasiliti pelupusan radioaktif Lynas 79% siap dibina, 1.46 juta tan sisa sudah dipindah - Dewan Rakyat diberitahu

LocalEnvironment
19 Nov 2026 • 9:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Fasiliti pelupusan radioaktif Lynas 79% siap dibina, 1.46 juta tan sisa sudah dipindah - Dewan Rakyat diberitahu Image from: Fasiliti pelupusan radioaktif Lynas 79% siap dibina, 1.46 juta tan sisa sudah dipindah - Dewan Rakyat diberitahu amree19/11/2026 - 09:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov — Sebanyak 1.46 juta tan sisa radioaktif daripada operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd sudah dipindahkan ke fasiliti pelupusan kekal (PDF), dengan pembinaannya kini 79% setakat 31 Oktober 2026, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal.

 

Tambah beliau, usaha pemindahan sisa dikenali sebagai 'water leach purification' (WLP) dari kemudahan penyimpanan sementara (RSF) ke PDF dipantau secara berkala oleh Jabatan Tenaga Atom (JTA) bagi memastikan keselamatan radiasi terhadap orang awam dan alam sekitar.

 

Ujar beliau, JTA turut menjalankan pemantauan serta persampelan alam sekitar, manakala data berkaitan boleh diakses sendiri orang ramai secara masa nyata menerusi laman web rasmi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta pautan https://erms.atom.gov.my.

 

Menurut Mohamad Yusof, pelanjutan tempoh lesen operasi Lynas selama 10 tahun dibuat berdasarkan penilaian teknikal, aspek perundangan dan pematuhan menyeluruh oleh JTA, selain tertakluk kepada syarat lesen lebih ketat di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

 

"Dalam tempoh lima tahun pertama pelanjutan lesen itu, Lynas diwajibkan mengubah suai proses di loji berkenaan menggunakan kaedah suhu rendah bagi mengurangkan kepekatan aktiviti sisa WLP ke paras di bawah had kawalan yang ditetapkan Akta 304," jelas beliau.

 

Beliau menyatakan perkara demikian ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 bagi MOSTI di Dewan Rakyat, pada Rabu.

 

Lynas_DagangNews2026

 

Mohammad Yusof mengulas lanjut berkata, kegagalan mematuhi segala syarat yang dikenakan tersebut boleh menyebabkan lesen operasi Lynas digantung atau dibatalkan terus oleh JTA pada bila-bila masa sahaja mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.

 

Katanya, semua aktiviti pemprosesan unsur nadir bumi (REE) di negara ini yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi dengan kepekatan aktiviti melebihi satu becquerel per gram (Bq/g) tertakluk kepada pelesenan dan kawal selia JTA, tanpa mengira pelabur atau teknologi yang digunakan.

 

"Menyentuh berhubung persediaan negara dalam bidang tenaga dan teknologi nuklear, MOSTI sedang merangka Pelan Pembangunan Bakat Nuklear Kebangsaan bagi memperkukuh pembangunan modal insan seiring perkembangan teknologi serta keperluan masa depan," tambah beliau.

 

Jelas Mohamad Yusof, walaupun penggunaan Reaktor Modular Kecil (SMR) tidak dinyatakan secara khusus dalam Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, MOSTI tetap menyokong usaha pembangunan kepakaran dalam bidang berkenaan menerusi pelbagai inisiatif.

 

Selain itu, Agensi Nuklear Malaysia sudah menyiapkan kajian awal berkaitan Reaktor Serbaguna (MPR) dan kini sedang merangka pelan hala tuju sebagai asas perancangan strategik bagi tempoh 2026 hingga 2030 di bawah Teras Strategik Keempat DTNN.

 

Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan MOSTI berjumlah RM1.292 bilion bagi 2027 menerusi undian suara selepas dibahaskan oleh seramai 19 orang Ahli Parlimen.  - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved