Curi kabel siang hari dekat sekolah, 14 individu ditahan polis

13 Oct 2026 • 11:30 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Curi kabel siang hari dekat sekolah, 14 individu ditahan polis

SHAH ALAM, 13 OKT: Polis menahan 14 individu termasuk dua wanita susulan kejadian curi kabel pada waktu siang berhampiran sebuah sekolah rendah di Kampung Melayu Panchor, Seremban 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, semua suspek berusia antara 22 hingga 67 tahun ditahan menerusi operasi di beberapa lokasi sekitar Negeri Sembilan dan Selangor.

Menurutnya, kejadian yang disedari orang ramai kira-kira jam 12 tengah hari itu turut tular menerusi rakaman menunjukkan sekumpulan lelaki menarik kabel tanpa mempedulikan orang awam yang lalu-lalang.

“Seorang saksi kejadian melihat empat lelaki memakai pelitup muka dan menaiki empat kenderaan sedang menarik kabel dari dua lubang penyelenggaraan.

“Kejadian berlaku di kawasan simpang jalan keluar, dekat sebuah sekolah rendah di Panchor. Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Mohd Yatim berkata, susulan laporan berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risikan Jenayah (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan melaksanakan Op Lusuh di Labu, Nilai dan Dengkil, Selangor pada hari sama.

Katanya, operasi itu membawa kepada penahanan 12 lelaki dan dua wanita tempatan selain rampasan lima kenderaan serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memotong dan mencuri kabel.

“Dalam serbuan terbabit, polis turut merampas lima kenderaan, beberapa peralatan memotong dan mencuri kabel, tiga guni wayar tembaga yang sudah dibakar dan pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata, penahanan kumpulan terbabit turut membantu polis menyelesaikan beberapa kes curi kabel di Negeri Sembilan serta beberapa kawasan di Selangor, Kedah dan Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved