Cuti 15 September: Majikan Ada 3 Pilihan, Pekerja ‘Wajib’ Tahu
Umum diketahui, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia.
Satu daripadanya adalah pengisytiharan 15 September 2025 sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Beliau menjelaskan bahawa cuti tambahan ini diadakan bagi menghargai ukhwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan berbilang kaum.
Pengumuman ini pastinya membawa kegembiraan bukan sahaja kepada pekerja sektor awam, malah turut dinanti-nantikan oleh pekerja sektor swasta.
Mana tidaknya, ia adalah peluang untuk rakyat Malaysia meluangkan masa bersama keluarga, beriadah serta menghayati semangat patriotisme dan kepelbagaian budaya yang membentuk identiti negara.
Malah, cuti panjang seperti ini juga dapat merancakkan aktiviti pelancongan domestik serta memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan.
Namun begitu, apa tindakan yang perlu diambil oleh majikan, dan apa pula hak yang perlu difahami oleh pekerja?
“Pelaksanaan cuti tambahan ini tertakluk kepada peruntukan undang-undang pekerjaan sedia ada, iaitu Seksyen 60D (1) Akta Kerja 1955 [Akta 265] bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, Ordinan Buruh Sabah (Bab 67), Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76), serta Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] sebagai asas pengisytiharan rasmi cuti tambahan oleh Kerajaan,” jelas Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Justeru, berdasarkan undang-undang ini, majikan mempunyai tiga pilihan utama berkaitan pelaksanaan cuti kelepasan am tambahan ini, iaitu:
1. Memberi hari kelepasan am tambahan tersebut dan membayar gaji biasa.
2. Mengarahkan pekerja hadir bekerja dan membayar gaji mengikut kadar hari kelepasan am.
3. Memberi gantian cuti pada hari lain sekiranya pekerja dikehendaki bekerja pada hari kelepasan berkenaan.
JTK sedia bantu majikan, pekerja
Untuk info, bagi memastikan pelaksanaan hari kelepasan am tambahan yang adil dan teratur, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara bersedia memberi khidmat nasihat serta menjawab sebarang pertanyaan daripada majikan dan pekerja berhubung pelaksanaan hari kelepasan am tambahan ini.
Majikan atau pekerja yang memerlukan panduan lanjut boleh menghubungi talian hotline JTKSM di talian 03-8886 5192/5937 atau emel ke jtksm@mohr.gov.my atau hadir ke Pejabat JTK berhampiran.
Sumber: Kementerian Sumber Manusia
The post Cuti 15 September: Majikan Ada 3 Pilihan, Pekerja ‘Wajib’ Tahu appeared first on Siakap Keli.



