Cuti tiga hari tamat, trafik mula perlahan masuk pusat bandar

31 Aug 2026 • 5:41 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Cuti tiga hari tamat, trafik mula perlahan masuk pusat bandar

PETALING JAYA – Selepas tiga hari menikmati cuti hujung minggu yang disambung dengan cuti umum Hari Kebangsaan, aliran trafik mula perlahan memasuki pusat bandar, petang ini.

Pusat Pengurusan Trafik, Lembaga Lebuh Raya (LLM) dalam kemas kini pada pukul 4.33 petang memaklumkan, trafik meningkat dan bergerak perlahan di beberapa lebuh raya utama, termasuk laluan menuju Kuala Lumpur.

Antara lokasi yang mula menerima pertambahan kenderaan ialah selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar raya di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara.

Keadaan sama turut direkodkan di beberapa laluan lain, antaranya Sungai Besi ke Universiti Putra Malaysia, Bandar Baru Nilai ke Bandar Ainsdale serta Senawang ke Pedas Linggi bagi arah selatan.

Di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan pula dilaporkan perlahan di beberapa lokasi termasuk Kuala Kangsar ke Ipoh Utara, Gopeng ke Bidor dan Tanjung Malim ke Lembah Beringin.

Bagi arah utara, antara laluan yang terjejas ialah Tapah ke Gopeng, Ipoh Selatan ke Ipoh Utara, Changkat Jering ke Taiping Utara serta Bandar Baharu ke Jawi.

LLM turut memaklumkan sebuah kereta rosak di KM 267.3 arah utara menyebabkan lorong kiri terhalang.

“Satu kemalangan dilaporkan di KM 206.2 arah selatan dari Bukit Merah ke Taiping Utara, namun tiada lorong terhalang,” lapor LLM.

Di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, trafik arah barat juga mula perlahan dari Karak ke Bentong, Bentong ke Lentang, Bukit Tinggi ke Genting Sempah serta Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak.

Bagi arah timur, trafik perlahan dilaporkan dari Gombak ke Genting Sempah susulan sebuah kenderaan rosak di KM 26.4 yang menyebabkan lorong kiri ditutup.

Turut terjejas ialah Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah arah utara dari Bandar Gamuda Cove ke Putrajaya serta Lebuh Raya Senai-Desaru arah barat dari Penawar ke Cahaya Baru.

Walaupun cuti tiga hari berakhir hari ini, tidak semua orang akan kembali bekerja esok disebabkan Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa pada 1 September sempena kejayaan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2026, baru-baru ini.

Justeru, sebahagian warga Selangor dan mereka yang bekerja di Selangor dijangka masih menikmati cuti tambahan esok, sekali gus berpotensi menyebabkan sebahagian pergerakan pulang berlaku secara berperingkat. – KOSMO! ONLINE

The post Cuti tiga hari tamat, trafik mula perlahan masuk pusat bandar appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved