[VIDEO] Berkampung dalam hujan demi sambut merdeka di Putrajaya

30 Aug 2026 • 9:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Berkampung dalam hujan demi sambut merdeka di Putrajaya

PUTRAJAYA- Hujan renyai yang membasahi bumi Putrajaya malam ini tidak mematahkan semangat ratusan rakyat untuk berkampung di sini demi menyambut sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada pukul 8 pagi esok.

Berdasarkan tinjauan Kosmo! malam ini, rata-rata rakyat mula berkumpul seawal pukul 4 petang tadi di Dataran Putrajaya bagi mendapatkan ‘spot’ terbaik menyaksikan perarakan pada esok pagi.

Selain tidur dengan suasana terbuka, ada juga pengunjung yang memasang khemah bagi memastikan tahap keselesaan maksimum khususnya buat anak-anak mereka.

Menurut Azreena Amer Khan, 40, beliau dan keluarganya mengambil keputusan bermalam kerana mahu mendapatkan lokasi paling terbaik bagi melihat perarakan esok.

“Seperti tahun lalu, saya dan keluarga hadir pada pukul 3 pagi, tetapi banyak tempat yang menarik telah diambil oleh orang lain.

“Jadi, tahun ini kami membuat keputusan untuk datang seawal pukul 7 malam untuk mendapatkan ‘spot’ terbaik iaitu di barisan paling hadapan,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.

Kata wanita berasal dari Kepong itu, beliau mengambil keputusan untuk berkampung di Putrajaya bagi membolehkan tiga anaknya merasai pengalaman menyambut merdeka secara beramai-ramai.

“Ini antara cara saya mendidik anak-anak mengenai kemerdekaan, malah mereka juga begitu teruja untuk bermalam dan menantikan sambutan secara besar-besaran esok,” katanya.

Sementara itu, menurut Md. Shukri Md. Yusuf, 47, beliau dan keluarga mengambil keputusan bermalam di Putrajaya bagi merasai sambutan secara skala besar di ibu negara.

“Sebenarnya, kami baru tiba dari Kulim, Kedah kira-kira pukul 8 malam tadi dan akan bermalam di Putrajaya untuk sambutan kemerdekaan esok.

“Saya membawa khemah bagi memastikan keselesaan tahap maksimum untuk keluarga memandangkan perlu menunggu lama sebelum sambutan bermula pada esok pagi,” katanya.

Untuk maklumat, acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2026 dijadualkan berlangsung pada pukul 8 pagi esok.

Acara sambutan itu akan dijayakan lebih 10,819 peserta daripada 76 kontinjen selain melibatkan 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias serta 328 aset darat, laut serta darat serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan. – KOSMO! ONLINE

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online)

The post [VIDEO] Berkampung dalam hujan demi sambut merdeka di Putrajaya appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved