
MELAKA – Trafik di beberapa laluan sekitar Klebang dekat sini sesak susulan lebih 70,000 pengunjung hadir bagi menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka di Persiaran Jalan Pantai, hari ini.
Kehadiran orang ramai seawal pukul 4 pagi menyebabkan aliran trafik menuju lokasi sambutan mula perlahan, dengan kawasan berkenaan dipenuhi pengunjung tempatan dan pelancong yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan acara ulang tahun kemerdekaan negara ke-69.
Sambutan yang berlangsung penuh meriah itu mencatatkan penyertaan kira-kira 12,000 peserta membabitkan 158 kontinjen daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, institusi pengajian tinggi serta sektor swasta.
Perbarisan penuh istiadat turut membabitkan penyertaan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Selain itu, sebanyak 32 kenderaan pelbagai jenis dipamerkan dalam acara perarakan termasuk aset keselamatan, kenderaan teknikal, perkhidmatan awam serta kenderaan hiasan kreatif yang mencerminkan kepelbagaian fungsi jabatan dan agensi terbabit.
Sambutan kali ini turut menampilkan persembahan lintas hormat pesawat tempur Sukhoi dan pesawat angkut taktikal C130-H Hercules bagi tahun kedua berturut-turut selepas penganjuran tahun lalu.
Pertunjukan udara berkenaan menjadi antara tarikan utama pengunjung selain memperlihatkan keupayaan ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan grafik manusia terbesar membabitkan 2,500 peserta, persembahan kebudayaan oleh artis tempatan dan pelajar serta persembahan pancaragam lagu patriotik.
Turut dipersembahkan ialah pertunjukan darat oleh pasukan keselamatan serta persembahan khas kanak-kanak dan komuniti setempat yang menyemarakkan lagi suasana sambutan dengan kibaran Jalur Gemilang.
Secara keseluruhannya, lebih 150,000 pengunjung direkodkan hadir sepanjang tiga hari program berlangsung, sekali gus membuktikan Sambutan Hari Kebangsaan terus menjadi acara yang dinanti-nantikan rakyat Melaka selain mencerminkan semangat perpaduan dan patriotisme masyarakat. – KOSMO! ONLINE
The post Melaka sesak, 70,000 banjiri Klebang appeared first on Kosmo Digital.






