Da’i Wan tegur Cik Epal dan Jofliam, minta selesai isu secara tertutup

LocalFamily & Parenting
29 Apr 2025 • 3:22 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Pendakwah bebas, Da’i Wan menegur dua pempengaruh media sosial terkenal, Cik Epal dan Jofliam, agar menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara tertutup.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau menegaskan bahawa tegurannya bukan bertujuan mencampuri urusan peribadi pasangan berkenaan, namun bimbang perkara itu boleh mencetuskan fitnah dan menjadi rantaian dosa yang berpanjangan.

*”Saya minta berhenti sekarang. Selesaikan hal keluarga anda di belakang tabir. Jangan jadi punca fitnah, jangan jadi punca rantaian dosa yang akan buat anda berdua kesal di hari akhirat nanti. Please, this has to stop.

“Saya cukup tak suka nak campur tangan pasal hal rumah tangga orang, tapi saya melihat kalian berdua tidak tahu berhenti, melainkan pihak berkuasa perlu turun tangan agaknya. Sudah, selesaikan di belakang. Ingat, pengaruh dari kalian akan menyebabkan kalian kesal nanti,”* katanya.

Dalam masa sama, Da’i Wan turut menasihati kedua-dua mereka agar berundur seketika daripada media sosial serta menjaga hubungan silaturahim, walaupun telah berlaku perceraian.

“Berundurlah dari media sosial seketika, dan hiduplah di belakang sosial media pula. Jangan jadi fitnah dunia, jangan jadi punca rantaian dosa. Berat tak tertanggung di hari akhirat nanti.

“Bukalah pintu kemaafan masing-masing. Ikutlah jalan agama kita wahai @cikepal06 & @jofliam. Meski jodoh tidak menakdirkan bersatu, tapi ikatan anak-anak telah tercipta dengan tanggungjawab. Peganglah amanah dengan kasih dan sayang, bukan dengan amarah nafsu dendam yang tak berkesudahan,” tulisnya.

Terdahulu, konflik antara Cik Epal dan bekas suaminya, Jofliam, kembali menjadi perhatian umum apabila Cik Epal mendakwa dirinya telah diserang oleh isteri kepada Jofliam ketika ingin mengambil barangan miliknya.

Bagaimanapun, wanita bernama Dewi tampil menjelaskan bahawa tindakannya adalah kerana mempertahankan diri, selain mendakwa auratnya telah didedahkan semasa kejadian.