
PETALING JAYA: Jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Laos meningkat 28.7 peratus kepada AS$55.9 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha memperkukuh hubungan ekonomi menjadi antara tumpuan pertemuannya dengan Perdana Menteri Laos, Saleumxay Kommasith, di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina.
“Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan, termasuk dalam bidang tenaga boleh baharu, infrastruktur, pengangkutan dan logistik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada pertemuan itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Saleumxay atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Laos bulan lalu.
Katanya, pertemuan berkenaan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk mempererat hubungan dua hala ketika Malaysia dan Laos meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.
Selain kerjasama ekonomi, kedua-dua negara bersetuju meneruskan usaha memuktamadkan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan pelancongan.
Anwar berkata, Malaysia dan Laos juga bersetuju mengadakan mesyuarat suruhanjaya bersama di Vientiane pada tahun depan bagi mempergiat kerjasama dua hala.
“Kami turut bersetuju mempergiat kerjasama melalui penganjuran Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-4 di Vientiane pada 2027,” katanya. – UTUSAN
The post Dagangan Malaysia-Laos meningkat 28.7 peratus appeared first on Utusan Malaysia.




