Dagangan saham Annum digantung mulai 28 Mei 2025, berisiko dinyahsenarai

21/05/2025 - 12:31
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 21 Mei - Dagangan saham syarikat pengeluar produk papan lapis, Annum Bhd akan digantung mulai 28 Mei 2025 selepas Bursa Malaysia Securities menolak permohonan untuk melanjutkan tempoh penghantaran pelan penyusunan semulanya.
Annum berkata, syarikat yang berstatus PN17 itu juga akan dinyahsenarai pada 30 Mei 2025 kecuali jika rayuan dikemukakan kepada pengawal selia sebelum 27 Mei 2025.
"Bursa Securities tetap akan menggantung dagangan saham syarikat pada 28 Mei ini walaupun keputusan rayuan masih belum dibuat," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Annum yang dikenali sebagai Cymao Holdings Bhd sebelum ini, dikelaskan sebagai syarikat bermasalah kewangan PN17 pada Mei 2024.
Ia susulan laporan audit oleh firma SBY Partners PLT yang tidak memberikan pendapat terhadap penyata kewangan Annum bagi tempoh 18 bulan berakhir 30 Jun 2023.
Awal bulan ini, juruaudit baharu Annum, LTTH PLT, juga memutuskan untuk tidak memberikan pendapat mengenai penyata kewangan kumpulan untuk tempoh berakhir 31 Dis 2025.
Ia disebabkan kesukaran mendapatkan bukti audit yang mencukupi, terutamanya berkaitan isu yang telah dibangkitkan oleh SBY sebelum ini.
Antara masalah utama yang dikenal pasti LTTH termasuk baki pembukaan yang tidak dapat disahkan, berpunca daripada isu yang juga tidak dapat disahkan oleh SBY sebelum ini. - DagangNews.com
standard



