Dagangan saham MMM Group digantung mulai 7 Ogos, berisiko dinyahsenarai September ini

31/07/2025 - 10:03
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 31 Julai - Dagangan saham MMM Group Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Asia Media Group Berhad akan digantung pada 7 Ogos ini dengan kemungkinan dinyahsenarai pada 4 September 2025 tetapi tertakluk kepada rayuan yang dikemukakan.
Ia susulan keputusan Bursa Malaysia Securities menolak cadangan pelan penyusunan MMM di bawah Nota Amalan 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama dengan alasan keraguan terhadap pelan tersebut dalam mengekalkan dan mengembangkan operasi perniagaan teras syarikat.
Bursa Securities menekankan, pelan tersebut tidak mempunyai ketelitian yang mencukupi dalam menangani isu-isu asas yang menyebabkan kumpulan itu diklassifikasikan di bawah PN17.
Penambahbaikan yang dijangka dalam ekuiti pemegang saham juga lebih banyak berpunca daripada cadangan pengurangan modal dan bukannya keuntungan operasi.
Bursa Securities berkata, prestasi kewangan MMM semakin merosot, dengan penurunan hasil dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24) dan FY25, walaupun data industri menunjukkan pasaran pengiklanan luar rumah di Malaysia meningkat sebanyak 3.66% pada 2024.
Syarikat itu hanya berjaya menguasai 0.75% daripada pasaran bernilai RM990 juta pada 2024, dengan hasil sebanyak RM7.41 juta.
Kadar penggunaan papan iklan digital MMM berada pada paras 30% hingga 40%, manakala kadar pengambilan bagi projektor iklan dalam lif pula sekitar 30%.
Setakat 31 Mei, buku tempahan kumpulan yang masih berbaki RM4.7 juta, dan ia mencatat aliran tunai operasi negatif sebanyak RM3.05 juta setakat 31 Mac.
Keuntungan bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 serta bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2025 sebahagian besarnya dipacu oleh pendapatan lain — khususnya keuntungan penilaian nilai saksama ke atas pelaburan.
Tanpa mengambil kira keuntungan bukan operasi ini, MMM akan mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM670,000 bagi FY23 dan kerugian bersih sebanyak RM1.18 juta bagi FY24, RM1.14 juta bagi FY25, serta RM410,000 bagi tempoh tiga bulan tersebut.
Namun begitu, Bursa Securities turut memaklumkan, jika rayuan terhadap nyahsenarai itu difailkan selewat-lewatnya 29 Ogos, proses yang dijadualkan pada 4 September itu akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan tersebut.
“Bagaimanapun, Bursa Securities akan tetap meneruskan penggantungan dagangan sekuriti syarikat pada 7 Ogos walaupun keputusan terhadap rayuan syarikat masih belum diputuskan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
MMM berada status PN17 sejak Oktober 2019 selepas ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah 25% daripada modal terbitannya.
Pada Ogos 2021, juruaudit luar syarikat, Tetuan CAS Malaysia PLT menekankan ketidaktentuan material berkaitan keupayaan syarikat untuk terus beroperasi sebagai entiti berterusan dalam penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021. - DagangNews.com
standard

