'Dah dua bulan, BN-PN masih gagal laksana tanggungjawab sebagai kerajaan negeri' - Aminuddin

LocalPolitics
11 Oct 2026 • 3:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Dah dua bulan, BN-PN masih gagal laksana tanggungjawab sebagai kerajaan negeri' - Aminuddin
Aminuddin berucap sempena Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-24 pada Ahad.

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) didakwa gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik meskipun sudah dua bulan mentadbir negeri itu.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kegagalan melantik barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK/Exco) seperti mana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyebabkan urusan pentadbiran negeri terganggu.

"Kita lihat hari ini, dua bulan pentadbiran mereka (BN-PN), daripada bulan Ogos sehingga hari ini, masih tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan negeri.

"Kerana apa? Nak lantik Exco pun mereka tak dapat buat. Yang mana Exco ini penting dalam kerajaan negeri untuk menentukan dasar, membuat kelulusan bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-24 di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dilaporkan berkata, pentadbiran negeri berjalan dengan baik meskipun ketiadaan Exco.

Selain itu, Pengerusi Pakatan Harapan(PH) Negeri Sembilan itu turut mengkritik tindakan kerajaan negeri yang membuat pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK), sedangkan urusan pentadbiran yang memerlukan kelulusan Exco dalam mesyuarat MMK masih belum dapat dilaksanakan seperti biasa.

"Pelabur dan pengusaha menanti, yang semuanya memerlukan kelulusan MMK. Terpaksa tangguh... Jadi ini menggagalkan usaha negeri untuk terus berkembang.

"Ini jadi satu perkara yang patut kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu fikirkan, bukan hanya memikirkan kepentingan mereka," katanya.

Aminuddin berkata, tindakan 10 Exco menyaman kerajaan disifatkan sesuatu yang amat memalukan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved