Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan merekodkan pencapaian sepanjang lapan tahun pentadbiran di bawah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, termasuk dari segi pembangunan, infrastruktur, pelaburan dan peningkatan rizab negeri.
Antara perkara yang boleh dibanggakan
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyatakan, antara perkara yang dibanggakan ialah dakwaan tiada skandal rasuah yang membelenggu pentadbiran kerajaan negeri sepanjang tempoh berkenaan.
“Satu perkara yang paling penting yang patut kita banggakan ialah lapan tahun kita (PH) berada dalam pentadbiran kerajaan negeri, lapan tahun beliau (Aminuddin) menjadi Menteri Besar, tidak ada apa-apa skandal rasuah yang membelenggu pentadbiran ini.
“Rekod pentadbiran kekal bersih. Tidak ada apa-apa yang boleh dilemparkan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun mahupun rakan-rakan Exco kita,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-24 pada Ahad.

Aminuddin jalankan amanah dengan sebaik-baiknya
Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, Aminuddin telah melaksanakan amanah sebagai Menteri Besar dengan sebaik-baiknya, selaras dengan matlamat parti untuk membawa perubahan dan reformasi.
Sehubungan itu, Anthony turut merakamkan penghargaan atas sumbangan Aminuddin terhadap pembangunan Negeri Sembilan, selain menegaskan sokongan DAP terhadap kepimpinannya dalam PH negeri berkenaan.
“Jadi Datuk Seri Aminuddin Harun, kita senang susah bersama. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
“Kita (DAP) nak nyatakan sokongan kita yang tidak berbelah bahagi untuk beliau terus menerajui PH Negeri Sembilan kerana integriti beliau telah pun diuji dan terbukti. Ini sesuatu yang sangat penting kepada DAP,” katanya.

Foto: Utusan Malaysia
Untuk rekod, Aminuddin dilantik sebagai Pengerusi PH Negeri Sembilan pada 2017 dan menjadi Menteri Besar pertama daripada PH.
Walau bagaimanapun, beliau tewas dalam pertembungan tiga penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu, iaitu kali pertama beliau bertanding di kawasan berkenaan.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)






