
SEREMBAN - Tiada skandal rasuah dilaporkan sepanjang lapan tahun pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Beliau berkata, pelbagai pencapaian direkodkan sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri itu, termasuk peningkatan rizab kerajaan negeri serta kemajuan dalam pembangunan, infrastruktur dan pelaburan.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, DAP akan terus menyokong Aminuddin untuk menerajui PH Negeri Sembilan susulan rekod integriti yang ditunjukkan sepanjang tempoh pentadbirannya.
“Antara perkara paling penting yang boleh kita banggakan ialah sepanjang lapan tahun pentadbiran kerajaan negeri dan lapan tahun beliau menjadi Menteri Besar, tiada skandal rasuah yang melanda pentadbiran ini.
“Rekod pentadbiran kekal bersih. Tiada perkara negatif yang boleh dilemparkan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun atau anggota Exco kita,” katanya.
Menurut Loke, Aminuddin telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar dengan baik, selaras dengan matlamat parti untuk membawa perubahan dan pembaharuan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Aminuddin atas sumbangannya terhadap pembangunan Negeri Sembilan.
“Kami telah melalui masa senang dan susah bersama. Kami memikul beban bersama dan berkongsi tugas yang lebih ringan.
“DAP ingin menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau untuk terus memimpin PH Negeri Sembilan kerana integritinya telah diuji dan terbukti. Perkara ini amat penting bagi DAP,” katanya.
Aminuddin menerajui PH Negeri Sembilan sejak 2017 dan menjadi Menteri Besar pertama daripada gabungan itu.
Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini, beliau tewas dalam pertandingan tiga penjuru ketika bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi buat kali pertama. - Getaran, 11 Oktober 2026






