
PEMERGIAN guru. Cikgu Jamaliah Aris dalam satu nahas jalan raya di 2.2 Jalan Sri Menanti-Parit Sikom, Pontian pada Selasa menghiris perasaan rakyat Malaysia.
Kehilangan ibu kepada tiga cahaya mata itu terus dikenang suaminya, Farid, tiga cahaya mata mereka, ahli keluarga dan para pelajar Allahyarham.
Suaminya menerusi hantaran di laman sosial berkongsi catatan kehilangan yang meruntun hati. Rupanya, guru Matematik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas itu seolah-olah memberi petanda akan pergi selamanya.
Imbas kembali hari kemalangan, Farid menerusi catatannya sempat berkongsi detik akhir bersama Allahyarham yang disifatkan sebagai wanita kiriman dari syurga.
Difahamkan pada hari kejadian, Cikgu Jamaliah terdahulu terlupa menjemput anak ketiganya dari rumah pengasuh selepas menjemput anak kedua walaupun sebenarnya ia hanya sehala.

"Pagi itu, Selasa 14/4/2026, dakapan terakhir kuat erat, sebelum masing-masing keluar menjalankan tugas dunia hari itu penghabisan dunia untuknya, mungkin dia tahu, mungkin.
"Sejadah dan telekung selepas selesai Zuhur terakhir juga aku biarkan, terletak elok di situ sampai saat ini.
"Lebih kurang jam 3 petang aku call “Babah on the way balik ni, babah angkut la Abang Youk dengan adik sekali. “Eh tak apa babah, nanti umi nak ambil”
"Biasa kami selalu tengok siapa yang cepat balik dialah yang ambil anak. Kadang-kadang kalau kedua-dua tidak sempat, tumpang yati , isteri ajib. Kadang-kadang kakak ambil si Farouk. Aku ok jer lah, aku terus balik rumah.
"Sampai rumah bersiap-siap untuk solat Asar. Kebiasaan kalau balik kerja awal memang aku suka pergi masjid awal sedikit. Baring-baring sekejap di penjuru belakang kanan, port favourite di masjid sebelum aku hendak azan Asar.
"Bunyi enjin kereta , Farouk masuk rumah, tapi bunyi kereta keluar balik dari garaj. "Eh mana adik, mana umi?”
“Umi lupa nak singgah ambil tadi , umi keluar balik ambil adik”
“Oh okay Youk.” Biasanya lepas ambil Farouk balik sekolah agama 3.30 petang akan terus singgah rumah Mak Nah, pengasuh Fahri sebab sejalan. Tapi kali ni pelik. Umi lupa," titipnya.

Ketika bersiap untuk ke masjid untuk menunaikan solat Asar, Farid menerima berita Cikgu Jamaliah terlibat dalam kemalangan. Berita itu mengejutkan namun Farid melaluinya dan tenang. Malah difahamkan, kakinya ketika itu mengalami kecederaan akibat retak tiba-tiba membaik dengan sendirinya.
"Selang beberapa minit , dalam jam 3.53 petang kawan sekampung aku panggil Macha aka Azri Mostapa telefon. "Mat , kau datang simpang Mat sekarang! Bini kau accident.”
"Selalu kalau aku dapat berita sesiapa kemalangan atau apa-apa kecelakaan aku ni kelam-kabut. Serius, tanyalah semua orang, aku ni memang jenis clumsy! Super clumsy.
"Tapi petang itu aku rasa ada satu Little Boy aka bom atom Hiroshima menuju tepat ke kepala engkau tapi kau stay. Kau macam “biar lah, aku pasrah je lah..”
"Aku capai kunci Vespa, aku tinggal Farouk di rumah tanpa cakap ap-apa. Aku rasa dia tengah mengunyah karipap ketika itu. Aku terus ke simpang tempat kejadian yang jaraknya lebih kurang 1 kilometer sahaja dari rumah .
"Aku double stand moto, pergi ke kereta yang aku namakan Fred. Sudah 13 tahun umur Fred.
"Umi dalam kereta dan orang awam cuba bantu keluarkan. Mungkin ada tersepit kaki umi, akhirnya berjaya keluarkan kaki umi, aku terus rangkul dia.

"Kaki aku yang retak tu aku lupa, aku lupa kaki aku sakit, ada satu bunyi dekat buku laliku, prap !Kuasa ALLAH, kakiku boleh menapak tanpa rasa sakit dan denyut.
"Betul kuasa ALLAH. Kun faya kun yang semua wajib imani. Aku duduk disitu, aku riba umi. Aku rasa nadi dan jantungnya. Hati kecilku berkata “Umi….”
"Mata sudah tertutup, muka kaki tangan sudah pucat. Aku tanya orang awam sudahkah menghubungi 999 dan mereka berkata sudah.
"Aku tanya bolehkah hantar terus tak payah tunggu. Bapa kawanku Diana, Wak Hamid yang rumah mereka paling dekat dengan tempat kejadian terus drive Perodua Alza miliknya. Aku angkat umi masuk kereta duduk kerusi belakang dengan bantuan orang awam.
"Terima kasih Diana dan orang awam jagakan aurat isteri," titipnya.
Jelas Farid, tiada setitis darah mahupun kecederaan luaran dapat dilihat pada tubuh isterinya. Bersih. Momen cemas berlalu pantas sehingga pihak hospital memaklumkan pemergian Cikgu Jamaliah akibat kecederaan dalaman.
"Aku gerak ke Hospital Pontian. Aku , Wak Hamid dan umi. Aku pangku umi , aku tenung mukanya. Aku tenung sedalam-dalamnya. Aku tengok kaki tangan muka apa semua. Tiada darah, cedera atau luka apa segala .
"Bersih, bersih, ALLAH, ALLAH,ALLAH.

“Terima kasih Wak Hamid." Aku peluk Wak Hamid dan dia berlalu selepas pasukan kecemasan hospital turunkan umi dalam kereta .
“Encik tunggu di luar sekejap ya, kami akan buat prosedur “ Kata salah seorang staf hospital.
Tidak lama selepas itu Nazri ,Cikgu Hana dan kakak datang. Mungkin ada deka-dekat hospital selepas balik kerja, mungkin.
"Kawan-kawan rapat arwah pun ada. Kak Liza, Kak Ayu, Kak Chik pun ada call. “Nazri, Abang Farid solat Asar sekejap. Apa-apa call.”
"Ngam-ngam selepas beri salam kedua , Nazri call dengan suara cemas. “Abang farid baik kau datang sini cepat”
"Ya, aku sudah reda dah since aku rangkul badan umi dekat kereta tadi sebenarnya. Aku sudah reda.
"Innalillahiwainnailaihirojiun, umi meninggal dunia pada jam 4.46 petang kerana kecederaan cardiac tampo nade due to road traffic incident. Tulang klavikel dan rusuk patah agak teruk.
"Tidak ada darah sedikit pun keluar daripada badan umi semasa dimandikan. Cuma post mortem tetap dijalankan kerana prosedur mengesahkan sebab kematian," coretnya.
Isteri yang patuh kepada suami, itulah gambaran ketaatan Cikgu Jamaliah.Kini sudah tiada lagi di sisi, Farid meredai pemergian wanita itu dan berjanji akan terus mendidik tiga permata hati mereka.

"Tiada yang berlaku di atas dunia ini tanpa sebab, semua sudah tertulis di Luh Mahfuz .Babah reda umi dan ujian-ujian sebegini sebenarnya sinonim dengan babah sejak kecil lagi.
"Insya-ALLAH, babah cuba yang terbaik untuk keluarga kita. Membesarkan dengan semampunya Abang Malik, Abang farouk dan Adik Fahri .Tiga orang itu matang sebelum usia, harta dunia akhirat kita sayang.
"Babah rasa tidak ralat, babah dapat berada di sisi umi sampai umi pergi. Paling babah bersyukur, babah dapat imamkan umi.
"Babah dapat bagi dan terima kasih sayang yang tiada berbelah bagi daripada umi. Terima kasih sayang, terima kasih.
"Babah halalkan segala-galanya walau umi tidak pernah langsung berdosa apatah lagi derhaka kepada babah. Meninggi suara pun tidak pernah, jauh sekali menengking mahupun mengherdik babah. Langsung tidak.
"Umi, babah menahan sebak. Tidak pernah cakap tidak kalau babah minta apa-apa , walau babah minta masak nasi goreng pukul 12.30 malam selepas balik kerja. Umi tetap gosok mata dan bangun umi masakkan. Kuku tangan dan kaki babah pun umi keratkan.
"Sampaikan salam babah pada emak dan bapak ya sayang .
"Babah cintakan umi kerana ALLAH, the real wanita kiriman dari syurga, Jamaliah Aris. 12/10/1989 - 14/4/2026," kongsinya.
Terdahulu, media melaporkan kemalangan melibatkan kereta Toyota Vios dipandu Cikgu Jamaliah dengan lori Isuzu putih dipandu seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun.
Lapor Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa kereta wanita itu keluar dari simpang Parit Basilam lalu bertembung dengan lori berkenaan.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Pontian," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu lori berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan namun ditahan dan kenderaan berkenaan disita untuk siasatan lanjut.
