BAGAN SERAI - Seorang wanita meminta pengguna jalan raya berhati-hati menghulurkan bantuan kepada lelaki dipercayai warga asing yang meminta wang di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Ahad lalu.
Menerusi perkongsian di Thread, Marsya Azhar, 24, berkata, lelaki berkenaan memandu kenderaan jenis Perodua Ativa mendakwa mengalami kesulitan selepas kad ATM miliknya disekat.
"Lelaki itu turut beritahu kenderaannya kehabisan minyak dan dia bersama isterinya serta anak kecil mereka perlu pulang ke Kuala Lumpur selain tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.
"Nada percakapannya sopan ketika meminta bantuan membuatkan saya dan ayah berasa kasihan," katanya yang telah menghulurkan wang sebanyak RM10.
Marsya berkata, perbuatan keluarga itu bagaimanapun mencurigakan tambahan cuba sembunyikan wajah selepas terlihat telefon bimbit dipegangnya.
Tambahnya, dia percaya taktik yang digunakan keluarga itu merupakan satu penipuan dengan meraih simpati pengguna jalan raya lain.
"Orang ramai diluar sana sekiranya jumpa individu ini atau menggunakan modus operadi sama untuk tidak memberi duit kerana itu taktik penipuan daripada warga asing.
"Jangan mudah terpedaya dan berhati-hati kerana mungkin boleh juga dipukau oleh mereka," katanya lagi.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mendakwa pernah berhadapan dengan situasi sama.
"Di Johor pun lebih kurang sama. Hati-hati semua dengan taktik warga asing. Mereka gunakan alasan anak bini. Mohon pihak berwajib ambil maklum 'scammer' orang asing macam ini," kata little_miracle113.
"Modus operandi sama. Saya pernah hadapi di Hentian Sebelah Nilai Selatan, memang 'scammer'. Untuk perhatian jangan baik sangat layan orang asing, jauhkan diri," nasihat rosdijaffar.


