Sampai bila nak hadap banjir kilat

LocalEnvironment
28 Apr 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sampai bila nak hadap banjir kilat
Isu banjir kilat masih menjadi igauan menakutkan pengguna jalan raya dan penduduk negeri Selangor. - Gambar hiasan

ISU banjir kilat masih menjadi igauan menakutkan pengguna jalan raya dan penduduk negeri Selangor.

Mana tidaknya, hujan lebat dalam tempoh sejam sahaja sudah cukup menjadikan kawasan sekitar seperti pulau sehingga menyukarkan kenderaan untuk melalui laluan tersebut.

Merak Jalanan berkata demikian susulan hujan lebat yang berlaku baru-baru ini di sekitar Lembah Klang, antaranya Shah Alam dan Sungai Buloh.

Berdasarkan dakwaan penduduk, sistem perparitan didapati tidak sempurna akibat kesan pembangunan serta sisa binaan.

Merak Jalanan juga difahamkan terdapat paip yang tersumbat, dipercayai berpunca daripada sisa sampah dan sebagainya.

Isu ini perlu diambil serius kerana dibimbangi mengundang insiden lain termasuk kemalangan jalan raya.

Pihak berkuasa tempatan atau kontraktor lantikan perlu menjalankan tanggungjawab dengan baik dengan mengenal pasti lokasi kejadian berdasarkan kes yang berlaku.

Merak Jalanan berharap isu banjir kilat dapat ditangani segera bagi menjamin keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.

Shah Alam bukan kawasan luar bandar. Ini ibu negeri. Ada industri, universiti, kawasan perumahan tersusun. Tapi peliknya, sistem asas iaitu saliran air masih gagal.

Apa yang lebih membimbangkan ialah cara kerajaan negeri mengurus masalah ini sampai mendapat teguran daripada Sultan Selangor sendiri.

Merak Jalanan berpandangan bahawa sebagai negeri maju, sepatutnya isu banjir kilat di Selangor perlu ditangani dengan lebih berkesan. Ini bukan bencana yang datang tanpa amaran. Sudah kerap berulang.

Kereta rosak, perniagaan terganggu, rumah dinaiki air. Rakyat juga yang terpaksa tanggung masalah. Akhirnya setiap kali langit gelap, setiap kali itu juga kita berdoa supaya banjir kilat tidak akan berlaku!