
KOTA BHARU: Masyarakat Orang Asli menuntut Kerajaan Kelantan memberikan penjelasan terbuka berhubung status Hutan Simpan Kekal (HSK) yang didakwa semakin ‘botak’ akibat pembalakan dan pembukaan ladang.
Wakil Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (Jaringan) Nor Muhammad Shafiq Dendy Abdullah, berkata, ia penting kerana perkara itu memberikan kesan kepada mereka termasuk hidupan liar di kawasan Ulu Gua Musang.
Katanya, sebelum ini kerajaan negeri telah mewartakan 778,000 hektar sebagai kawasan HSK yang didakwa masih dikekalkan.
“Kami mahu kerajaan negeri mendedahkan peta serta status sebenar kawasan HSK berkenaan termasuk kawasan yang telah dinyahwartakan, ditukar status atau diberikan untuk aktiviti perladangan.
“Hal ini kerana kita lihat, HSK itu telah dibalak. Di luar memang labelnya HSK, tetapi di dalam sudah dibuat ladang dan sebagainya. Jadi kita nak tanya, di mana Hutan Simpan yang dimaksudkan?” katanya kepada pemberita semasa sidang media di sini hari ini.
Nor Muhammad Shafiq Dendy mendakwa, penebangan hutan untuk tujuan pembalakan berlaku di perkampungan Orang Asli di melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Galas.
Dakwanya, aktiviti turut berlaku di HSK Kekal Kuala Betis, Sungai Perias dan Gunung Berangkat,” katanya.
Nor Muhammad Shafiq Dendy turut mendakwa, aktiviti pembalakan yang sebelum ini dikatakan dilakukan secara terpilih kini didakwa berubah kepada penebangan secara besar-besaran sehingga menyebabkan kawasan tertentu kelihatan ‘botak’ dan kehilangan litupan hutan semula jadi.
“Apabila hutan semula jadi dimusnahkan dan digantikan dengan tanaman komersial, adakah ia boleh dianggap mempunyai fungsi hutan yang sama dari segi ekologi, biodiversiti, sumber air dan habitat hidupan liar.
“Serangan gajah turut menyebabkan tanaman penduduk seperti padi bukit, jagung, sayur-sayuran dan pokok pisang musnah, sekali gus menjejaskan sumber makanan serta pendapatan keluarga.-UTUSAN
The post Dakwa hutan di hulu Kelantan semakin ‘botak’, Orang Asli tuntut penjelasan appeared first on Utusan Malaysia.


