Dakwaan AS tawar tumbangkan kerajaan: Kenapa PH melatah?

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 1:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dakwaan AS tawar tumbangkan kerajaan: Kenapa PH melatah?

PETALING JAYA: Pas mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis susulan dakwaan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai usaha Amerika Syarikat (AS) campur tangan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia sebelum 2018.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dakwaan itu tidak pernah mengaitkan mana-mana pihak dalam PH, justeru beliau mempersoalkan kepentingan gabungan tersebut dalam isu berkenaan.

“Apa yang menghairankan, kenapa tiba-tiba Pakatan Harapan melatah? Apa kepentingan mereka dalam isu ini? Kenapa tiba-tiba melatah dan buat laporan polis?

“Adakah Presiden Pas mengaitkan mana-mana pihak daripada Pakatan Harapan dalam isu ini? Tidak sekali-kali,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Ahmad Fadhli, Kedutaan AS di Malaysia sudah menafikan dakwaan tersebut dan sekiranya berlaku pertikaian antara kedua-dua pihak, terdapat saluran undang-undang termasuk tindakan saman sivil.

“Jadi, kenapa mereka melatah? Atau mereka sebenarnya yang ada kaitan?” katanya.

Sebelum ini, Kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan pernah cuba menentukan kepemimpinan politik Malaysia serta menyifatkan sebarang dakwaan sebaliknya sebagai palsu.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS, David H Gamble Jr berkata, AS tidak pernah berusaha untuk menentukan siapa yang memimpin Malaysia.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Abdul Hadi bahawa seorang wakil Kedutaan AS pernah bertanya kepadanya mengenai calon yang dicadangkan parti itu sebagai Perdana Menteri.

Abdul Hadi mendakwa pertemuan berkenaan berlaku ketika Pas masih menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat, sekitar waktu lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama ke Malaysia.

Beliau membuat dakwaan berkenaan ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Kota Bharu, baru-baru ini.

Abdul Hadi turut mendakwa Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum itu diberitahu oleh Duta AS bahawa kerajaan boleh dijatuhkan, dengan AS bersedia memberikan bantuan. – UTUSAN

The post Dakwaan AS tawar tumbangkan kerajaan: Kenapa PH melatah? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved