PUTRAJAYA – Pas mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya sebagai ‘melatah’ susulan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha menjatuhkan kerajaan Malaysia sebelum 2018.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Abdul Hadi hanya mendakwa terdapat usaha AS untuk campur tangan dalam urusan politik negara, tanpa mengaitkan mana-mana pihak daripada PH.
ARTIKEL BERKAITAN: Amerika Syarikat nafi campur tangan tentukan kepimpinan politik di Malaysia
Dakwa AS campur tangan: Abdul Hadi wajib disiasat segera - Aiman Athirah
“Kedutaan AS di Malaysia menafikan perkara ini. Ada kaedah undang-undang untuk selesaikan pertikaian antara dua pihak terlibat ini iaitu saman sivil,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut beliau, tindakan PH yang dilihat 'melatah' dengan dakwaan tersebut dan membuat beberapa laporan polis menimbulkan kehairanan.
"Apa kepentingan mereka (PH) dalam isu ini? Kenapa tiba-tiba melatah dan buat laporan polis? Adakah Presiden Pas mengaitkan mana-mana pihak dari PH dalam isu ini? Tidak sekali-kali.
"Jadi, kenapa mereka melatah? Atau mereka sebenarnya yang ada kaitan? soal Ahmad Fadhli.
Sebelum ini, Abdul Hadi ketika berucap pada Muktamar Tahunan mendakwa wakil AS pernah menawarkan bantuan kepada Pas bagi menjatuhkan kerajaan BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau turut mendakwa terdapat pertemuan antara pemimpin Pas dengan wakil Kedutaan AS, selain mendakwa seorang duta AS bertanyakan siapa calon Perdana Menteri yang akan dicadangkan parti itu sekiranya berlaku perubahan kerajaan.
Bagaimanapun, Kedutaan AS di Malaysia menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa Washington tidak pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia.






