
PUTRAJAYA: Dakwaan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad bahawa beliau tidak dipanggil pada prosiding oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disemak semula sebelum ia disahkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat berkenaan perkara tersebut.
“Sekiranya berkenaan fakta-fakta itu, kita perlu menyemak semula dan mengesahkannya. Jadi sekarang ini saya tidak dapat apa-apa maklumat berkenaan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Media melaporkan, Madinah yang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara pada 2017 hingga 2019, mendedahkan yang beliau sudah berada di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika prosiding RCI TH itu berlangsung tetapi namanya tidak dipanggil.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli menyifatkan bahawa tindakan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang meninggalkan Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan RCI berhubung pengurusan Tabung Haji kelmarin disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
“Apabila ada Ahli Parlimen yang keluar dan tidak mahu membahaskan, maka saya merasakan bahawa itu bukanlah satu tindakan yang bertanggungjawab.
“Kita perlu bersama-sama berbahas, bertanya soalan dan mengupas supaya kita dapat mencari satu keputusan ataupun penyelesaian yang baik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perbahasan berhubung laporan itu kini telah selesai dan semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk meneruskan proses seterusnya. – UTUSAN
The post Dakwaan bekas Ketua Audit Negara tidak dipanggil prosiding RCI TH perlu disemak, disahkan appeared first on Utusan Malaysia.






