“Hak Saya Untuk Didengari Dinafikan” – Bekas Ketua Audit Negara Terkilan Tak Dipanggil Ketika Prosiding RCI TH

LocalPolitics
13 Aug 2026 • 10:44 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Hak Saya Untuk Didengari Dinafikan” – Bekas Ketua Audit Negara Terkilan Tak Dipanggil Ketika Prosiding RCI TH

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 sehingga 2020 masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.

Antara perkara yang menjadi bualan adalah mengenai tindakan Jabatan Audit Negara yang dilaporkan tidak sepatutnya memberi Sijil Audit Bersih meskipun laporan audit pada tahun 2017 ada menyebut tentang Emphasis of Matter (EOM).

Berdasarkan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya memberikan sijil tersebut pada tahun kewangan berkenaan.

Ini kerana perkara yang dinyatakan sebagai EOM itu sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Bekas Ketua Audit Negara Sedia Beri Keterangan Namun Terkilan Tak Dipanggil Ketika Prosiding

Terbaharu, Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad meluahkan rasa terkilan apabila dia tidak dipanggil ketika sesi prosiding RCI TH sedangkan dia bersedia memberi keterangan kepada panel siasatan terbabit.

Jelas Madinah yang berkhidmat KAN pada tahun 2017 sehingga 2019, dia sudahpun berada di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) namun namanya tidak dipanggil ketika prosiding berlangsung.

“Saya sudah pergi ke sana pada hari dan masa ditetapkan di JAKIM. Saya menunggu lebih dari 30 minit tetapi terkilan, akhirnya tidak dipanggil.

“Hak saya untuk didengari dinafikan apabila tidak dipanggil dalam prosiding itu walaupun sudah hadir dan menunggu di situ,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.

Keputusan Berhubung Isu TH Dibuat Berdasarkan Kepentingan Negara – KAN

Tegas Madinah, keputusan yang dibuat olehnya berhubung isu TH pada tahun 2017 adalah berdasarkan kepentingan negara.

Atas dasar itulah, dia mengeluarkan Sijil Audit Bersih dengan dua Emphasis of Matter (EOM) kepada TH pada Julai 2017.

Tambah Madinah lagi, pihaknya telah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin untuk memelihara kepentingan negara.

“Jika kita memahami aspek perakaunan, pengeluaran EOM, bermaksud bahawa penyata kewangan itu memerlukan perhatian.

“Ketika itu saya menggunakan pertimbangan profesional untuk mengeluarkan EOM bagi menarik perhatian kepada dua perkara material yang dikenal pasti semasa audit dan saya sudah jalankan tugas sebaik mungkin,” ujarnya.

Jelas Madinah lagi, pemberian EOM (pada waktu itu) digunakan untuk menarik perhatian pengguna terhadap perkara yang didedahkan dengan sewajarnya dalam penyata kewangan dan dianggap penting untuk difahami oleh pengguna.

Keputusan Keluarkan EOM Adalah Berasakan Bukti Audit & Piawaian Antarabangsa

Pada masa sama, Madinah menjelaskan, berdasarkan Akta Audit 1957, KAN bertanggungjawab untuk melaksanakan audit secara bebas dan profesional demi kepentingan awam.

Oleh yang demikian, keputusan mengeluarkan EOM dibuat berasaskan bukti audit dan piawaian Audit Antarabangsa (ISA).

“Sekiranya Sijil Berteguran dikeluarkan tanpa memenuhi kehendak piawaian, ia bukan sahaja menjejaskan integriti proses pengauditan, malah boleh memberi implikasi besar kepada keyakinan pemegang kepentingan,” jelasnya.

Audit JAN & FPR Dua Penugasan Berbeza

Dalam pada itu, Madinah menjelaskan pengauditan daripada Jabatan Audit Negara (JAN) dan Financial Position Review (FPR) yang dilaksanakan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) adalah dua penugasan yang berbeza khususnya dari segi objektif, skop dan mandat.

Pengauditan JAN adalah audit statutory yang dijalankan mengikut Akta Audit 1957 serta piawaian ISA dan ISSAI.

FPR yang dilakukan oleh PwC pula adalah penilaian khas berdasarkan Terms of Reference yang telah ditetapkan oleh pihak yang melantik mereka.

“Dalam isu rosot nilai misalnya, JAN mengaudit berdasarkan Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) 139 yang berkuat kuasa ketika itu, manakala PwC mengambil kira Financial Reporting Standards Implementation Committee (FRSIC) Consensus 14, yang menurut Malaysian Institute of Accountants bukan merupakan piawaian mandatori.

“Oleh itu, kedua-dua penugasan (oleh JAN dan PwC) tidak boleh dibandingkan secara langsung,” ujarnya.

Keadilan Perlu Diberi Kepada Bekas KAN – Syed Saddiq

Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai laporan RCI TH pada 11 Ogos menegaskan keadilan perlu diberi kepada bekas KAN susulan beliau tidak dipanggil ketika prosiding yang dijalankan pada empat tahun lalu.

Malah Syed Saddiq turut berpendapat bahawa SKOP RCI meliputi tempoh 2014 hingga 2020 dan laporan berkenaan telah merumuskan isu kedudukan kewangan sejak tahun 2014.

Namun, penyata kewangan bagi tahun 2014 sehingga 2016 juga telah diaudit dan diberikan Sijil Audit bersih oleh KAN yang berkhidmat pada ketika itu.

Dalam sidang sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali turut mempersoalkan tahap integriti laporan audit yang dibentangkan selama ini.

Jelasnya, kerajaan perlu membuat pendirian jelas berhubung isu audit RCI TH serta bagaimana untuk meyakinkan tahap integriti laporan KAN.

Baca Artikel Berkaitan: Jabatan Audit Negara Gagal Tegur TH Isytihar Hibah 2017 Sebanyak RM2.75 Bilion – RCI Tabung Haji

Baca Artikel Berkaitan: “Saya Orang Pertama Bagi Kerjasama” – Isu Laporan RCI Tabung Haji, Abdul Azeez Sedia Disiasat Semula

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved