
SK Pinawantai Ranau, Sabah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial kononnya seorang guru bernama ‘Cikgu Farhan’ meredah hutan selama tiga jam untuk menghantar bekalan beras kepada murid asrama di sekolah berkenaan.
Guru Besar SK Pinawantai Ranau, Roseline Liji, berkata kejadian seperti yang didakwa tidak berlaku sama sekali di sekolah itu.
Menurut beliau, kedudukan sekolah berkenaan adalah berhampiran jalan besar dan boleh diakses menggunakan kenderaan, selain tidak mempunyai kemudahan asrama seperti yang digambarkan dalam hantaran tular tersebut.
“Tidak berlaku kejadian seperti ini di SK Pinawati Ranau, Sabah.
“Kedudukan sekolah berhampiran jalan besar, tiada asrama, boleh dilalui dengan kenderaan,” jelasnya.
Baca juga:
Jururawat ‘off duty’ selamatkan wanita tercekik raih pujian
‘Kabinet kecam keras kenyataan didakwa hina sahabat Nabi’ – Fahmi
RTM tamatkan siaran di Astro mulai 1 Julai ini
Beliau turut menegaskan bahawa tiada individu bernama ‘Cikgu Farhan’ yang bertugas di sekolah itu.
“Mohon pemilik hantaran memadamkan posting tersebut demi menjaga nama baik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau serta SK Pinawantai Ranau,” katanya.
Sebelum ini, satu hantaran tular mendakwa seorang guru sanggup meredah hutan selama tiga jam sambil memikul beras menggunakan wang gaji sendiri untuk membantu murid asrama yang dikatakan hanya makan ubi kayu akibat jalan rosak teruk.
Dakwaan tersebut telah mendapat perhatian ramai di media sosial sebelum penafian rasmi dikeluarkan oleh pihak sekolah.
The post Dakwaan Cikgu Farhan pikul beras tular, Guru Besar SK Pinawantai nafi kejadian appeared first on The Reporter.






