SHAH ALAM - Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku buli yang melibatkan pelatih di bawah naungannya dan sedia mengambil tindakan drastik termasuk hukuman buang institusi.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media pada Isnin mengenai dakwaan kejadian buli di sebuah kampus IPG di Kuching yang mula mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak mereka.
IPGM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan siasatan terperinci sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti punca serta individu yang terlibat.
“Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak IPGM. Tindakan tegas, iaitu hukuman tatatertib buang IPGM akan diambil ke atas mana-mana pelatih yang didapati bersalah,” menurut kenyataan itu.
Tegas IPGM, setiap pelatih guru diwajibkan memiliki tahap disiplin yang tinggi selain mempamerkan akhlak dan sahsiah terpuji selaras dengan peranan mereka sebagai bakal pendidik negara.
Terdahulu, tular laporan yang menyatakan keresahan ibu bapa terhadap budaya buli di kampus berkenaan.
Rata-rata penjaga menzahirkan kebimbangan terhadap integriti bakal guru yang bakal ditempatkan di sekolah-sekolah sekiranya gejala negatif itu tidak dibendung dari peringkat awal.
IPGM turut memberi jaminan bahawa keselamatan dan kebajikan pelatih sentiasa menjadi keutamaan, selain komited memastikan persekitaran kampus kekal kondusif untuk melahirkan generasi guru yang berkualiti.
