KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengemukakan cadangan berkaitan elaun petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), yang didakwa dibayar pada kadar RM30, untuk pertimbangan pihak berwajib sejak November tahun lepas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu merupakan antara usaha kementerian dalam memastikan kebajikan petugas kesihatan yang terlibat dalam perkhidmatan FDS diberikan perhatian sewajarnya.
"Antara cadangan yang kami angkat adalah elaun FDS, yang telah pun kita angkat pada tahun lalu, penghujung tahun lalu, bulan November secara tepatnya 2025.
"Kita tahu kita perlu memberikan yang sewajarnya. Sebab itu kami telah mengemukakan isu elaun ini awal lagi," katanya pada sidang media khas berhubung insiden nahas helikopter FDS, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Mahathar Abd Wahab.
Dzulkefly berkata KKM yakin akan menerima respons positif berhubung cadangan itu dan akan memaklumkan perkembangan kepada media sebaik sahaja pihaknya menerima keputusan.
"Insya-ALLAH kami akan dapat memberikan keputusan itu kepada rakan-rakan media sejurus kita dapat kemas kini, insya-Allah. Sejurus kita dapat keputusan itu," jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan di media sosial bahawa pegawai kesihatan yang terlibat dalam perkhidmatan FDS hanya menerima elaun RM30. - Awani






