
KUALA LUMPUR – Tokoh kewangan Islam, Tan Sri Mohd. Daud Bakar mengemukakan dua notis tuntutan masing-masing RM10.75 juta terhadap dua individu berhubung dakwaan penggunaan nama tanpa kebenaran dan reputasi profesional yang dikaitkan dengan skim pelaburan yang dikendalikan oleh Energy Eco Berhad (“EEB”).
Berdasarkan dokumen, Mohd. Daud, 62, mengeluarkan notis berkenaan pada 18 Ogos lalu terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Energy Eco Berhad (EEB), Datuk Norliza Tajudin dan Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, yang mempunyai kaitan dengan AUF MBZ Consortium PLT (AUF).
Dalam notis tuntutan itu Daud mendakwa, nama, jawatan dan kedudukan profesional beliau digunakan tanpa pengetahuan atau persetujuannya bagi meningkatkan kredibiliti skim pelaburan berkenaan serta mendorong pelabur menyertainya.
Pelabur didakwa diyakinkan bahawa penglibatan beliau menjadikan skim pelaburan tersebut selamat dan berpotensi tinggi.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengurusan harian, pentadbiran, hal ehwal kewangan, tawaran pelaburan, atau pengendalian dana pelabur syarikat tersebut.
Menurut surat yang dikeluarkan firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq, beberapa pertemuan diadakan pada 2021 bagi membincangkan usaha mendapatkan dana untuk EEB menerusi struktur Saham Keutamaan Boleh Tebus-i bagi projek barisan celupan sarung tangan.
Dalam notis kepada Norliza, Mohd. Daud mendakwa beliau dan pihak pengurusan EEB menggunakan nama serta reputasinya untuk mendapatkan keyakinan pelabur.
Sementara dalam notis berasingan kepada Mahadi pula, Mohd. Daud mendakwa Mahadi secara agresif mempromosikan pembabitan beliau dalam EEB bagi meningkatkan kredibiliti skim berkenaan.
Daud mendakwa, beliau hanya menyedari dakwaan penggunaan namanya itu selepas EEB gagal membuat bayaran dan pelabur menghubunginya.
Beliau kemudian membayar RM750,000 menggunakan wang peribadi, yang menurutnya dibuat semata-mata bagi menjaga nama baik dan kedudukan profesionalnya.
Kini, beliau menuntut semula RM750,000 masing-masing daripada Norliza dan Mahadi, selain RM10 juta setiap seorang sebagai ganti rugi berhubung dakwaan kerosakan reputasinya serta bayaran ganti rugi bagi perbelanjaan berkaitan.
Justeru menerusi notis tuntutan Mohd. Daud Bakar menuntut beberapa perkara daripada kedua-dua individu terbabit dalam tempoh 14 hari.
Antaranya memberikan maklum balas yang memuaskan dan sekiranya gagal berbuat demikian, Mohd. Daud mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka terbabit.
Pada Februari lalu, Mahadi didakwa dan mengaku tidak bersalah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah manakala Mohd. Daud didakwa atas pertuduhan bersubahat berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah.
Kemudian pada Mei lalu, Mohd. Daud dan Norliza didakwa dan mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM10.55 juta milik beberapa individu dan syarikat perdagangan. – KOSMO! ONLINE
The post Dakwaan guna nama, jawatan: Mohd. Daud kemuka notis tuntutan terhadap Mahadi, Norliza appeared first on Kosmo Digital.






