KUALA LUMPUR - Tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menyerahkan notis tuntutan kepada dua individu bagi menuntut bayaran balik RM750,000 serta pampasan RM10 juta berhubung dakwaan penggunaan nama dan reputasi profesionalnya tanpa pengetahuan dalam satu skim pelaburan.
Bekas Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Energy Eco Berhad berusia 62 tahun itu menyerahkan dua notis menerusi Tetuan Shahrul & Haziq kepada dua pihak secara berasingan bertarikh 18 Ogos lalu.
Mereka ialah Pengarah Syarikat Energy Eco Berhad, Datuk Norliza Tajudin dan pengasas serta rakan kongsi AUF MBZ Consortium PLT (AUF), Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman.
Mohd Daud yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM), menuntut kedua-dua individu berkenaan menanggung segala kos dan perbelanjaan berkaitan susulan dakwaan tersebut.
Berdasarkan notis itu, beliau berkata, tuntutan berkenaan dibuat kerana terpaksa menggunakan RM750,000 daripada dana peribadi bagi memelihara nama serta kedudukan profesionalnya.
Kedua-dua individu terbabit diberikan tempoh 14 hari untuk memberikan maklum balas yang memuaskan sebelum tindakan undang-undang dimulakan.
“Sekiranya gagal berbuat demikian, saya telah mengarahkan peguam untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap mereka,” menurut dokumen berkenaan.
Mohd Daud mendakwa tindakan itu berkaitan penggunaan dan eksploitasi nama, jawatan serta reputasi profesionalnya tanpa kebenaran berkaitan skim pelaburan yang dikendalikan oleh Energy Eco.
Menurutnya, Norliza pada masa berkenaan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu dan bertanggungjawab bersama pihak pengurusan terhadap pentadbiran, kewangan serta operasi harian syarikat.
Beliau mendakwa, Mahadi yang juga suami kepada seorang penyanyi dan aktivis pula merupakan pengasas dan rakan kongsi AUF, dilantik sebagai pihak pemasaran dan pengedaran bagi skim pelaburan Energy Eco, termasuk terlibat dalam aktiviti mempromosikan tawaran berkenaan melalui firma tersebut.
Mohd Daud berkata, walaupun pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Energy Eco, beliau tidak pernah terbabit dalam pengurusan harian, urusan kewangan, promosi pelaburan, rundingan dengan pelabur atau pengendalian wang mereka.
Beliau mendakwa, nama dan reputasi profesionalnya telah digunakan tanpa pengetahuan atau persetujuannya bagi meningkatkan keyakinan terhadap skim tersebut serta mendorong orang ramai menyertainya.
Menurutnya, perkara itu hanya disedari selepas Energy Eco gagal membuat bayaran dan pelabur mula menghubunginya secara langsung.
Notis tuntutan berkenaan dikeluarkan tanpa menjejaskan hak serta pembelaan Mohd Daud dalam prosiding jenayah yang sedang berjalan.
Pada 23 Februari lalu, Mohd Daud mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.
Pada hari sama, Mahadi, 43, didakwa sebagai wakil AUF MBZ Consortium PLT menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen yang sah.
Pada 11 Mei lalu, Mohd Daud dan Norliza didakwa sebagai ejen, iaitu pengarah dan pemegang saham Energy Eco telah diamanahkan dengan harta, dengan niat bersama melakukan pecah amanah jenayah ke atas wang milik empat pelabur.
Norliza pula sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 19 Ogos atas 10 pertuduhan menerima wang berjumlah RM13.4 juta hasil aktiviti haram.






