Norliza didakwa lagi, ubah wang haram lebih RM13 juta

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 2:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Norliza didakwa lagi, ubah wang haram lebih RM13 juta

KUALA LUMPUR – Pengarah Syarikat Energy Eco Berhad, Datuk Norliza Tajudin didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram RM13,456,605.29, sejak lima tahun lalu.

Pada 11 Mei lalu, wanita itu didakwa bersama tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar di Mahkamah Sesyen sama atas tujuh pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM10.55 juta.

Norliza, 54, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Bagi lima pertuduhan pertama, dia didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.6 juta menerusi beberapa transaksi dalam talian daripada akaun bank milik Energy Eco Berhad ke beberapa akaun bank miliknya.

Bagi empat pertuduhan lain, Norliza didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM4.4 juta menerusi 24 keping cek daripada akaun bank milik syarikat sama yang kemudian dimasukkan ke akaun bank peribadinya.

Mengikut pertuduhan ke-10, dia sebagai pengarah syarikat pelaburan, Aura Emas Trading Sdn. Bhd. didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram menerusi 10 keping cek berjumlah RM7.4 juta daripada Energy Eco Berhad sebelum dimasukkan ke akaun milik Aura Emas Trading.

Kesemua pertuduhan didakwa dilakukan di beberapa cawangan bank, di sini, antara 1 Februari 2021 dan 2 Februari 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) serta Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon supaya mahkamah menggunapakai wang jaminan RM100,000 beserta syarat tambahan seperti yang dibenarkan dalam kes sebelum ini.

Peguam Datuk Gobinath Mohanna mewakili Norliza tidak membantah permohonan tersebut.

“Atas persetujuan pihak-pihak, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes ini menggunapakai jaminan (terdahulu) serta syarat tambahan sehingga kes selesai bicara,” katanya.

Suzana turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes ini dibicarakan bersama dengan kes sebelum ini yang turut melibatkan Mohd. Daud.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 29 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE

The post Norliza didakwa lagi, ubah wang haram lebih RM13 juta appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved