Dakwaan jual 19 ekor gajah tidak benar - Perhilitan

LocalEnvironment
27 Mar 2026 • 6:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menegaskan bahawa dakwaan menjual 19 ekor gajah kepada pihak tertentu yang tular di media sosial adalah tidak benar dan mengelirukan.

Ketua Pengarah Perhilitan Semanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya terkesan hantaran itu di platform Threads pada Rabu.

"Gajah-gajah tersebut tidak dijual, sebaliknya dipindahkan secara pinjaman bagi tujuan konservasi dan pengurusan hidupan liar secara berterusan.

"Pelaksanaan pemindahan ini adalah sebahagian daripada usaha strategik Jabatan dalam memastikan kelangsunan spesies sekiranya berlaku sebarang wabak penyakit (outbreak) atau bencana di habitat asal," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abdul Kadir berkata, selain itu, mengurangkan konflik manusia–hidupan liar serta memperkukuh program konservasi melalui kerjasama dengan pihak yang berkaitan.

"Pendekatan ini juga penting sebagai strategi 'insurans populasi', di mana penempatan sebahagian individu di lokasi berbeza dapat mengurangkan risiko kehilangan populasi secara besar-besaran akibat faktor luar jangka seperti penyakit berjangkit, kemusnahan habitat atau bencana alam.

"Kerjasama ini turut membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan kepakaran, khususnya dalam bidang pembiakan terkawal, pemantauan kesihatan, pemakanan serta pengurusan habitat secara moden, yang secara langsung menyokong usaha pemuliharaan spesies gajah secara lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, semua gajah yang dipindahkan akan terus berada di bawah pemantauan dan kawal selia Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Perhilitan, termasuk melalui rekod pengurusan, pemantauan kesihatan serta laporan berkala daripada pihak penerima.

"Kementerian memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif terhadap usaha konservasi negara.

"Tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diseru agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat serta sentiasa merujuk kepada kenyataan rasmi daripada NRES dan Perhilitan bagi mendapatkan maklumat yang sahih