Dakwaan jumlah SD hanya propaganda, gimik politik - TPM

Politics
15 May 2023 • 3:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi mengadakan sidang media selepas majlis Aspesiasi Lembaga Koko Malaysia 2023 pada Isnin. - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Kenyataan yang dikeluarkan pihak tertentu berkaitan jumlah akuan bersumpah (SD) diperoleh dilihat hanya sebagai propaganda politik atau gimik politik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kerajaan Perpaduan yang ada ketika ini bukan saja stabil tetapi juga kukuh.

"Ia telah terbukti selama enam bulan ini apabila di Parlimen adanya undian dan sebagainya, menyaksikan ada undian yang penuh iaitu 148 kerusi menyokong Kerajaan Perpaduan.

"Jadi apa yang berlaku berhubung kait dengan kenyataan-kenyataan di luar itu, saya melihat merupakan politikal propaganda ataupun politikal gimik," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Apresiasi Lembaga Koko Malaysia (LKM) 2023 di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan pada Ahad dapat menurunkan suhu politik terutama berkaitan dakwaan SD daripada pihak pembangkang.

Bagaimanapun, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi mengingatkan semua ahli politik bahawa kerajaan yang ditubuhkan perlu stabil bagi mengembalikan semula keyakinan pelabur melabur di negara ini.

"Saya nak ingatkan orang politik khususnya bahawa negara kita memerlukan kestabilan kerajaan untuk dipertontonkan sebagai kerajaan yang stabil dan kuat kerana dengan mesej itu barulah keyakinan pelabur akan datang balik ke Malaysia.

"Kita perlu beri tumpuan untuk pulihkan ekonomi selepas berdepan dengan pandemik Covid-19, ini patut jadi fokus kita.

"Hanya dengan kekuatan perpaduan itu barulah yang lain datang dari segi ekonominya akan bertambah baik, kewangan kita akan beransur pulih dan akhirnya kita akan dapat beri bantuan kepada rakyat selain dapat fokus kepada pembangunan negara," katanya.