Ismail Dijangka Menghadap Tuanku Muhriz Lusa, Kemelut Politik Bakal Berakhir?

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 6:49 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Ismail Dijangka Menghadap Tuanku Muhriz Lusa, Kemelut Politik Bakal Berakhir?

SEREMBAN - Krisis politik Negeri Sembilan diramal menemui titik noktah dalam masa terdekat apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim, dijangka sekali lagi menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Jumaat ini.

Perkembangan itu menyusul selepas Ismail menghadap Tuanku Muhriz petang semalam.

Menurut sumber, pertemuan yang berlangsung antara jam 5 petang hingga 6.30 petang itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar.

Malah, Tuanku Muhriz difahamkan tidak memperkenankan peletakan jawatan yang dikemukakan Ismail.

Pertemuan pada Jumaat ini pula dijangka memberi tumpuan kepada pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta perjalanan urusan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Terdapat kemungkinan besar barisan Exco sebelum ini dikekalkan bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Dalam perkembangan berkaitan, 10 bekas Exco hari ini menamatkan tindakan undang-undang yang difailkan bagi mencabar kesahihan keputusan menggugurkan mereka daripada kerajaan negeri, selepas menarik balik prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Peguam utama mereka, Datuk Mohd Hafarizam Harun, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Roz Mawar Rozain, bahawa anak guamnya bersetuju menarik balik tindakan berkenaan tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.

Bagaimanapun, kedudukan sebenar Ismail sebagai Menteri Besar masih menimbulkan tanda tanya.

Sumber berkata, kekeliruan itu berterusan susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa beliau masih menunggu perkenan untuk menghadap pihak Istana Negeri Sembilan bagi membincangkan kedudukan jawatan Menteri Besar.

Ahmad Zahid sebelum ini memaklumkan bahawa sepucuk surat yang mengandungi satu nama calon bagi menggantikan Ismail telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk pertimbangan baginda.

“Kita benar-benar berharap perkara ini dapat diselesaikan segera. Kekeliruan ini sudah berlarutan terlalu lama.

“Kita akan menunggu pengumuman rasmi daripada Tuanku Muhriz dan berharap semua pihak menghormati serta mematuhi keputusan yang bakal dibuat,” katanya. - Getaran, 18 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved